JOHOR BAHRU, 24 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Johor hari ini dan dijadualkan menghadiri dua program di Segamat, menjadikannya kunjungan kali kedua beliau dalam tempoh tiga hari.
Program Anwar di daerah yang terletak kira-kira 200 kilometer dari sini itu, dibuat beberapa hari selepas beliau hadir ke Bukit Gambir, Tangkak bagi mengumumkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Isnin lepas.
Anwar dijadualkan melancarkan Program MADANI KITA bersama-sama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Dataran Segamat pada 5 petang.
Program itu diadakan sebagai platform memperkukuh semangat kejiranan, mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum serta menyebarluaskan inisiatif dan manfaat kerajaan kepada rakyat.
Perdana Menteri turut dijadualkan menghadiri program “Jom! Makan Durian” bersama-sama komuniti setempat di Tapak Bazar Yayasan, Segamat pada 6.30 petang, sekali gus mendekati masyarakat dalam suasana yang lebih santai.
Pada Isnin lepas, Anwar mengumumkan senarai penuh nama calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdiri daripada 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, 7 Julai bagi hari pengundian awal dan 11 Julai ialah hari pengundian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial