JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Berjaya Kesan Dua Lelaki Pandu Melulu Di Lebuhraya Utara Selatan

24/06/2026 06:04 PM

NIBONG TEBAL, 24 Jun (Bernama) -- Polis berjaya mengesan dua lelaki dipercayai memandu kereta masing-masing secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Utara Selatan arah Jawi menghala ke Bukit Tambun di sini, yang kejadiannya turut tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata pemandu Perodua Viva berusia 30 tahun dan pemandu pacuan empat roda Toyota Hilux berumur 30 tahun berjaya dikesan semalam.

“Pemandu Perodua Viva beralamat di Chemor, Perak manakala seorang lagi lelaki beralamat di Kamunting, Perak. Kedua-dua mereka telah direkodkan keterangan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah SPS semalam.

“Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Mohd Norazmi dilaporkan berkata rakaman video berdurasi dua minit 43 saat itu dikesan dimuat naik menerusi Facebook oleh satu akaun pada Isnin.

Rakaman itu memaparkan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dan Perodua Viva dipandu secara melulu serta berbahaya, seolah-olah sedang berlumba di lebuh raya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan