EKONOMI

Aktiviti Buru Saham Kembali Giat Pacu Bursa Malaysia Ditutup Meningkat

24/06/2026 07:03 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Rabu dengan lebih tinggi, dipacu aktiviti memburu saham-saham berharga rendah susulan penurunan di pasaran baru-baru ini, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.13 peratus atau 2.21 mata kepada 1,682.13 daripada penutupan di paras 1,679.92, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 2.11 mata kepada 1,682.03, malah bergerak dalam julat 1,680.49 hingga 1,690.66 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 518 berbanding 483 manakala 564 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,175 tidak diniagakan dan 41 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.76 bilion unit bernilai RM2.42 bilion daripada 3.35 bilion unit bernilai RM3.12 bilion, semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran utama Asia meningkat pada akhir dagangan di tengah-tengah aktiviti pembelian ketara bagi saham teknologi serta semikonduktor.

Bagi bursa tempatan, beliau memberitahu Bernama, kalangan broker ekuiti digital kekal berhati-hati meskipun terdapat pemulihan dalam indeks petunjuk utama berkenaan.

Walaupun aktiviti memburu saham-saham berharga rendah kembali ligat dan memulihkan pasaran daripada penurunan sebelum ini, faktor seperti ketidaktentuan geopolitik yang ketara serta kekurangan pemangkin masa terdekat yang kukuh, berkemungkinan menyaksikan pelabur terus memilih untuk berada di luar pasaran, katanya.

“Bagaimanapun, pembetulan teknikal pasaran baru-baru ini telah menjadikan penilaian saham-saham mewah lebih menarik yang sekali gus dapat menyuntik sokongan bagi pasaran secara meluas.

“Secara menyeluruh, kami menjangkakan FBM KLCI untuk kekal dalam julat 1,680 hingga 1,700 bagi tempoh berbaki minggu ini ketika pelabur terus menilai perkembangan global serta kemampanan pemulihan baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata peningkatan bursa tempatan itu didahului oleh saham sektor penjagaan kesihatan serta kaunter telekomunikasi dan perbankan apabila pelabur menumpukan perhatian kepada sektor-sektor yang sebelum ini mengalami pembetulan harga.

Sektor telekomunikasi khususnya, menarik minat belian selepas susut lima peratus sejak Selasa minggu lepas manakala saham perbankan juga melantun susulan minat belian yang kembali ketara.

“Walaupun pelabur asing kekal sebagai penjual bersih, kemampuan pasaran untuk meningkat hanya memaparkan sokongan berterusan daripada institusi domestik dan memaparkan berlakunya penggiliran sektor pelaburan dan bukan sentimen mengelak risiko secara menyeluruh.

“Daya tahan ini menunjukkan pelabur kekal berpendirian positif terhadap prospek ekonomi jangka sederhana dan pendapatan Malaysia dengan penyusutan pasaran terus dilihat memberi peluang untuk pengumpulan secara selektif,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan IHH Healthcare meraih 17 sen kepada RM8.73, IOI Properties Group naik 7.0 sen kepada RM4.10, Maxis menokok 4.0 sen kepada RM3.28, MR D.I.Y. Group meningkat 2.0 sen kepada RM1.65 manakala CelcomDigi naik 3.0 sen kepada RM2.68.

Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI susut setengah sen kepada 75.5 sen, Tanco Holdings meraih 1.5 sen kepada 14 sen, Dagang NeXchange meningkat 1.5 sen kepada 44 sen, Pegasus Heights kekal pada 1.0 sen manakala HHRG turun 1.0 sen kepada 9.5 sen.

Kaunter paling untung didahului oleh United Plantations yang melonjak 66 sen kepada RM33.62, Nestlé Malaysia juga naik 66 sen kepada RM95.66, Malaysian Pacific Industries menambah 38 sen kepada RM46.88, Kelington Group meningkat 26 sen kepada RM7.54 dan UWC Berhad meraih 22 sen kepada RM6.32.

Sebaliknya kaunter paling rugi menyaksikan Fraser & Neave Holdings merosot 50 sen kepada RM27.40, Hong Leong Industries susut 28 sen kepada RM18.72, TMK Chemical turun 16 sen kepada RM2.48, Hong Leong Financial Group rugi 14 sen kepada RM18.18 manakala XL Holdings susut 13.5 sen kepada 75 sen.

Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas menokok 34.00 mata kepada 12,474.66, Indeks FBM Top 100 naik 31.05 mata kepada 12,308.29 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 64.06 mata kepada 12,376.54.

Indeks FBM Mid 70 pula melonjak 108.54 mata kepada 17,887.26 manakala Indeks FBM ACE naik 47.35 mata kepada 4,767.03.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 16.83 mata kepada 19,756.34, Indeks Tenaga naik 2.74 mata kepada 750.20, Indeks Perladangan meningkat 12.47 mata kepada 8,980.19 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.48 mata kepada 184.66.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menguncup kepada 1.40 bilion unit bernilai RM2.13 bilion daripada 1.70 bilion unit bernilai RM2.79 bilion, semalam.

Waran pula berkurangan kepada 947.50 juta unit bernilai RM118.73 juta daripada 1.02 bilion unit bernilai RM121.03 juta semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan turun kepada 411.17 juta unit bernilai RM168.90 juta berbanding 622.37 juta unit bernilai RM209.06 juta pada hari sebelumnya.

Selain itu, sektor produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 170.22 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala sektor produk dan perkhidmatan perindustrian (239.92 juta), pembinaan (67.69 juta), teknologi (338.77 juta), perkhidmatan kewangan (54.44 juta), hartanah (245.53 juta), perladangan (38.54 juta), amanah pelaburan hartanah (16.10 juta), dana tertutup (314,400), tenaga (67.97 juta), penjagaan kesihatan (78.63 juta), telekomunikasi dan media (33.85 juta), pengangkutan dan logistik (27.11 juta), utiliti (29.70 juta), serta amanah perniagaan (21,000).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan