EKONOMI

ICDM, MICG Satukan Mandat Perkukuh Tadbir Urus Korporat Negara

25/06/2026 12:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) dan Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) mengumumkan penyatuan mandat strategik bagi membentuk satu platform bersepadu dalam memperkukuh tadbir urus korporat serta pembangunan profesional pengarah di Malaysia.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua organisasi itu memaklumkan langkah berkenaan menghimpunkan hampir tiga dekad usaha advokasi, pemerkasaan profesional dan pembangunan keupayaan tadbir urus di bawah satu kerangka yang lebih tersusun dan menyeluruh.

MICG yang ditubuhkan pada 1998 telah memainkan peranan penting selama 27 tahun dalam memajukan agenda tadbir urus korporat menerusi advokasi, pendidikan, penyelidikan, dialog dan pembinaan keupayaan merentas sektor awam dan swasta.

“Menerusi penyatuan ini, legasi dan sumbangan MICG akan diteruskan di bawah peranan ICDM sebagai institut pengarah kebangsaan Malaysia, yang diberi mandat untuk memprofesionalkan pengarah serta meningkatkan piawaian kepimpinan lembaga,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua organisasi memaklumkan bahawa penyatuan mandat tersebut dijangka mengurangkan pertindihan fungsi, sekali gus mengukuhkan ekosistem tadbir urus negara dengan menggabungkan kepakaran masing-masing.

Kerangka baharu itu akan berteraskan tiga tonggak utama, iaitu advokasi di peringkat nasional, penyelidikan gunaan, serta latihan dan pembangunan yang komprehensif.

Penyatuan mandat berkenaan telah diluluskan oleh ahli MICG pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada 24 Jun 2026.

Seiring itu, proses peralihan berstruktur bagi ahli MICG sedang dilaksanakan untuk mengintegrasikan mereka ke dalam rangka keahlian ICDM, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan manfaat kepada ahli.

Proses berkenaan dijangka selesai menjelang suku keempat 2026.

“Sebagai sebahagian daripada proses penyatuan ini, MICG akan mengambil langkah ke arah pembubaran sukarela oleh ahli, menandakan penamatan operasi institusi secara teratur, sementara mandatnya diteruskan sepenuhnya di bawah ICDM,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan