KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Landskap pasaran buruh dan perniagaan kekal berdaya tahan dan berada dalam keadaan terkawal sepanjang suku pertama dan kedua tahun ini, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata trend kehilangan pekerjaan kekal terkawal dengan seramai 6,197 individu direkodkan kehilangan pekerjaan pada bulan ini setakat 22 Jun, merangkumi 0.04 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk bekerja di Malaysia.
“Angka ini berkurang sebanyak 20 peratus berbanding 7,766 orang kehilangan pekerjaan pada Mei 2026,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Setakat April 2026, Akmal Nasrullah berkata jumlah tenaga buruh negara meningkat kepada 17.33 juta orang, manakala bilangan penduduk bekerja terus meningkat kepada 16.82 juta orang.
“Kadar penyertaan tenaga buruh pula kekal pada paras 70.9 peratus, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya, sekali gus mencerminkan kestabilan aktiviti ekonomi semasa,” katanya.
Akmal Nasrullah menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah mitigasi melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani peningkatan kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan susulan krisis tenaga serta ketidaktentuan ekonomi global, serta hasil pelaksanaannya setakat ini.
Beliau menjelaskan kadar pengangguran meningkat sedikit daripada 2.9 peratus pada Mac lepas kepada 3.0 peratus pada April, melibatkan seramai 511,800 orang, namun kadar itu masih berada di bawah empat peratus, iaitu tahap guna tenaga penuh.
Akmal Nasrullah memaklumkan penempatan semula pekerjaan turut menunjukkan perkembangan positif apabila MYFutureJobs merekodkan peningkatan penempatan sebanyak 55 peratus, iaitu daripada 12,119 orang pada April kepada 18,756 orang setakat 12 Jun lepas.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan penempatan pekerjaan bagi 2026 adalah 62,644 orang. Angka ini meliputi pencari kerja melalui portal MYFutureJobs serta penerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan intervensi kerajaan bukan sahaja menyediakan sokongan sementara, malah membantu pekerja yang terjejas untuk kembali bekerja dengan lebih cepat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial