AM

Negara AI: Malaysia Punya Keupayaan Urus Data Strategik - Gobind

25/06/2026 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia mempunyai keupayaan mencukupi untuk mengakses, mengurus dan memanfaatkan data secara strategik dengan tahap ketahanan yang tinggi ke arah merealisasikan aspirasi menjadi Negara AI.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata elemen kedaulatan data adalah penting dalam merealisasikan hasrat Negara AI, dan perlu disokong oleh tahap ketahanan yang tinggi bagi mewujudkan nilai ekonomi, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya saing negara.

“Ini bermaksud Malaysia mempunyai keupayaan mencukupi untuk meletakkan perlindungan yang betul dan tepat, termasuk membuat keputusan sendiri bagaimana AI (kecerdasan buatan) digunakan, dan bagaimana manfaatnya diagihkan kepada rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai usaha kerajaan merangkumi inisiatif negeri seperti Selangor Dark Fiber Network bagi menjamin kedaulatan data demi keselamatan dan kepentingan nasional. 

Gobind berkata kerajaan telah memperkukuh ekosistem keselamatan dan tadbir urus digital negara menerusi pelbagai dasar dan perundangan termasuk Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030, Dasar Pengkomputeran Awan Negara, Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025-2030, Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864) dan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854).

Usaha itu tertumpu kepada lima elemen utama, iaitu tadbir urus serta perkongsian data yang sahih dan dipercayai, kawalan ke atas data strategik negara, infrastruktur digital dan pengkomputeran yang dipercayai, kepercayaan serta ketahanan digital berasaskan prinsip security by design serta pembangunan keupayaan AI melalui data, bakat serta inovasi domestik.

Menjawab soalan tambahan Amirudin mengenai kesiapsiagaan Malaysia menghadapi persaingan geopolitik AI, serta cadangan mewujudkan majlis kebangsaan yang melibatkan kerajaan negeri dalam pembangunan AI, Gobind berkata kerajaan mengambil kira faktor geopolitik, keperluan domestik serta kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam merangka strategi negara AI yang selamat.

Beliau berkata kerajaan telah mewujudkan Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) bagi menyelaras pembangunan pusat data, pengkomputeran awan dan infrastruktur digital termasuk aspek kemampanan, keselamatan serta pematuhan piawaian.

“Dalam aspek itu saya setuju kita kena lihat bagaimana kita ada satu penyelarasan dan majlis yang kini melihat kepada aspek itu ialah Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) Persekutuan dan juga MED4IR Negeri.

“Tapi saya telah dimaklumkan oleh beberapa negeri sekiranya boleh kita adakan satu mesyuarat dan ada wakil-wakil negeri hadir pada peringkat nasional untuk membawa pandangan masing-masing kepada Perdana Menteri, dan perkara ini sedang diproses,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) sama ada terdapat kolaborasi antara Kementerian Digital dan Kementerian Kewangan bagi mewujudkan insentif kepada syarikat teknologi tempatan yang membangunkan pusat data berdaulat, Gobind berkata perkara itu turut dibincangkan menerusi DCTF yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

Beliau berkata pasukan petugas itu meneliti keperluan tenaga dan air, proses kelulusan projek, penggunaan teknologi terkini serta insentif yang diperlukan bagi menarik pelaburan pusat data ke Malaysia.

“Dalam perbincangan ini juga kita lihat kepada aspek memastikan pusat data yang akan dibina di Malaysia itu adalah selari dengan teknologi yang paling baharu, dan insentif-insentif yang diperlukan untuk kita menarik pelaburan.

“Apabila kita bincangkan perkara itu, kita juga melihat kepada kepentingan industri tempatan dan ini sangat penting. Kita hendak pastikan apabila kita membina ekosistem yang diperlukan untuk negara berjaya dalam AI pada masa depan, ia perlu melihat kepada keperluan industri tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan