KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memantau rapi status serta kebajikan tiga ekor gajah Asia dari negara ini yang dihantar ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun pada Mac lepas.
Timbalan Menteri berkenaan Syed Ibrahim Syed Noh berkata penghantaran tiga ekor gajah bernama Dara, Amoi dan Kelat itu merupakan sebahagian daripada program kerjasama strategik konservasi ex situ jangka panjang selama 25 tahun antara Zoo Taiping and Night Safari (ZTNS) dan pihak Zoo Tennoji.
Beliau berkata sebelum program itu dimuktamadkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah menjalankan penilaian impak fizikal dan psikologi secara menyeluruh bagi memastikan zoo di Jepun itu dapat mematuhi spesifikasi pengurusan hidupan liar antarabangsa.
“Bagi memastikan kebajikan gajah-gajah ini berada pada tahap optimum sepanjang fasa penyesuaian, sebanyak tujuh orang mahut (penjaga gajah) Perhilitan telah dihantar mengiringi haiwan tersebut selama dua bulan secara bergilir-gilir sejak Mac lepas.
“Malah sebagai langkah pemantauan susulan, dua lagi mahut tambahan telah dihantar ke zoo berkenaan bermula 1 Jun hingga 30 Jun ini bagi memastikan proses penyesuaian jangka panjang berjalan lancar,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai pelan dan tindakan kerajaan dalam memantau status serta kebajikan haiwan liar seperti gajah yang dihantar ke luar negara, selain rekod pemantauan terhadap gajah-gajah terdahulu.
Menjawab soalan tambahan Young Syefura mengenai desakan awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar ketiga-tiga gajah tersebut dibawa pulang, Syed Ibrahim berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan pelaksanaan kerjasama dibuat secara cermat berasaskan fakta dan lunas undang-undang serta memelihara hubungan diplomatik dengan Jepun.
Beliau berkata sebarang keputusan atau tindakan susulan adalah tertakluk kepada rundingan rasmi di bawah perjanjian induk antara pihak Zoo Taiping dan Zoo Tennoji.
“Mengenai cadangan menghantar pemerhati bebas atau NGO ke Jepun, NRES bersedia untuk memudah cara proses berkenaan sekiranya terdapat persetujuan bersama antara pihak Zoo Taiping dan Zoo Tennoji berlandaskan obligasi kontraktual sedia ada,” katanya.
Mengulas dakwaan mengenai kehilangan 19 ekor gajah yang dihantar ke luar negara sebelum ini, Syed Ibrahim berkata data tersebut adalah tidak rasmi, sebaliknya rekod rasmi Perhilitan mencatatkan hanya 10 ekor gajah yang pernah dieksport ke luar negara sejak 1977.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial