SEREMBAN, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan segera berjumlah RM805,700 untuk memberi nafas baharu kepada operasi Klinik Kesihatan Senawang, di sini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah tersebut, RM588,400 disalurkan kepada Klinik Kesihatan, manakala RM217,300 lagi diperuntukkan kepada Klinik Pergigian bagi membiayai pelbagai kerja pembaikan, naik taraf serta perolehan aset perubatan dan bukan perubatan.
“Antara penelitian utama di bawah peruntukan ini termasuk pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf bangunan Klinik Pergigian bagi menjamin keselesaan optimum kepada pengunjung.
“Selain itu, kelulusan ini turut merangkumi perolehan mesin ultrasound baharu bagi meningkatkan kecekapan diagnostik, serta penambahan dua buah kenderaan baharu bagi melancarkan mobiliti logistik petugas kesihatan ke lapangan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Dzulkefly berharap suntikan dana itu dapat memberi nafas baharu kepada operasi Klinik Kesihatan Senawang, sekali gus memastikan kelestarian perkhidmatan perubatan yang lebih efisien, saksama dan selesa dapat terus dinikmati oleh komuniti setempat.
Beliau berkata fasiliti berkenaan menggalas tanggungjawab besar sebagai nadi kesihatan primer, yang menyantuni lebih 220,000 penduduk sekitar dengan purata 1,000 kehadiran pesakit setiap hari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial