KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe dijangka berdepan cabaran sukar untuk mempersiapkan pasukan menjelang Kejohanan Bola Sepak ASEAN yang bermula bulan depan.
Cheng Hoe berkata situasi semasa tidak mudah kerana rata-rata pemain skuad kebangsaan kini berada dalam situasi luar musim, sekali gus memerlukan pendekatan rapi bagi mengekalkan tahap prestasi mereka.
“Saya rasa semua tahu keadaan sekarang untuk persiapan pasukan kebangsaan ke Kejohanan ASEAN kerana rata-rata pemain berada dalam situasi luar musim dan bukan mudah untuk mengekalkan prestasi pemain.
“Saya harap kelab dapat melepaskan pemain-pemain utama untuk pasukan kebangsaan menjalani latihan dan menghadapi perlawanan pada Kejohanan ASEAN,” katanya menerusi klip audio kepada media hari ini.
Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata latihan Harimau Malaya dijadualkan bermula pada 15 Julai ini dan beliau berharap semua pemain yang dipanggil berada pada tahap terbaik dari segi fizikal serta mental.
Cheng Hoe ketika mengulas mengenai sasaran pasukan negara berkata fokus utama adalah untuk membuat persiapan secara berperingkat.
“Sasaran kali ini adalah kami melihat persiapan satu perlawanan ke satu perlawanan untuk mendapatkan satu keputusan yang terbaik, di samping kami tahu sasaran setiap pasukan adalah layak ke peringkat seterusnya,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih interim Harimau Malaya menggantikan Peter Cklamovski yang kontraknya tidak disambung bulan ini.
Cheng Hoe menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan besar dan berterima kasih kepada FAM serta semua pihak yang memberikan kepercayaan kepadanya.
“Saya berasa begitu terharu dan bertanggungjawab untuk memastikan pasukan bola sepak kebangsaan berada pada landasan terbaik,” katanya, sambil menyeru penyokong supaya terus memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan.
Pada kempen Kejohanan ASEAN, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos dengan dua pasukan teratas layak ke peringkat separuh akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial