POLITIK

PRN Johor: Pastikan Budaya Berkempen Sihat Berasaskan Fakta, Bukan Fitnah - Fahmi

26/06/2026 09:05 PM

BATU PAHAT, 26 Jun (Bernama) -- Budaya berkempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dilaksanakan secara sihat berasaskan fakta dan bukannya fitnah, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata peringatan itu penting kepada semua parti politik, jentera, dan penyokong menjelang hari penamaan calon esok agar proses demokrasi tersebut berjalan dengan penuh adab serta mematuhi undang-undang.

Fahmi berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang dikesan melakukan kesalahan.

"Kita berkempen secara sihat, dengan fakta dan bukan fitnah. Kita pastikan budaya dan cara kita berkempen itu penuh adab dan ketertiban.

"Sekiranya melakukan apa-apa kesalahan dalam tempoh pilihan raya, maka pihak SPR dan pihak PDRM boleh mengambil tindakan," katanya ditemui Bernama pada Program Jiwa@Komuniti MADANI Sembang Santai di Gerai Setara Taman Banang Jaya di sini hari ini.

Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia platform media sosial turut mempertingkat pemantauan bagi menyekat penularan maklumat palsu, termasuk isu sensitif menyentuh raja, agama dan kaum (3R).

Mengenai kemudahan bagi pengamal media, beliau memaklumkan sebuah pusat media utama disediakan di Johor Bahru, selain wartawan boleh memanfaatkan rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memudahkan urusan pelaporan.

"Wartawan boleh manfaatkan di setiap DUN ada sekurang-kurangnya satu (NADI), mereka boleh pergi ke situ untuk sama ada bekerja, ataupun muat naik kandungan berita  dan manfaatkan sepenuhnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau telah meminta MCMC untuk segera meneliti aduan berhubung gangguan Internet serta kawasan titik buta di sekitar Batu Pahat susulan maklum balas dikemukakan Ahli Parlimen kawasan itu, Onn Abu Bakar.

Sementara itu, Onn menyifatkan kehadiran Fahmi memberi ruang kepadanya untuk menyalurkan aduan penduduk setempat secara terus kepada kementerian untuk tindakan lanjut.

"Kadang-kadang ada aduan yang tidak sampai, jadi kalau program seperti ini kita boleh terus aju kepada pihak-pihak yang berkenaan, terutamanya Kementerian Komunikasi," katanya.

SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi PRN Johor manakala hari pengundian pada 11 Julai selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun lepas.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan