AM

Maxim Perkasa Mobiliti Golongan OKU, Warga Emas

27/06/2026 10:44 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Platform e-panggilan Mxim mempergiat usaha meningkatkan akses pengangkutan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, kumpulan berpendapatan rendah serta komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan di seluruh negara menerusi penyelesaian mobiliti mampu milik, perkhidmatan berasaskan teknologi dan kerjasama strategik.

Ketua Maxim Kuala Lumpur Syed Abdul Syarif Syed Peiaru berkata syarikat itu komited memastikan perkhidmatan pengangkutan dapat diakses semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang atau keadaan.

Beliau berkata pengangkutan bukan sekadar medium untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, sebaliknya menjadi pintu kepada peluang serta kebebasan hidup.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan perkhidmatan e-hailing dapat diakses komuniti inklusif di seluruh Malaysia, termasuk golongan OKU, warga emas, keluarga berpendapatan rendah, pelajar dan komuniti yang kurang mendapat kemudahan.

“Ini bagi memastikan mereka menikmati akses kepada pengangkutan yang selamat, boleh dipercayai dan pada kadar berpatutan,” katanya dalam sesi soal jawab yang disediakan Maxim.

Beliau berkata mobiliti yang mudah diakses membolehkan individu terbabit lebih aktif dalam bidang pendidikan, pekerjaan, penjagaan kesihatan serta aktiviti sosial, selain membantu mengurangkan kekangan terhadap peluang dan kebebasan.

Katanya aspek kebolehcapaian kekal menjadi fokus utama syarikat kerana pengangkutan yang cekap memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat terus produktif dan kekal berhubung.

“Pengangkutan seharusnya memperkasa kehidupan rakyat,” katanya.

Syed Abdul Syarif berkata kemampuan kos dan keselesaan mempunyai kaitan rapat dengan aksesibiliti, justeru Maxim komited mengekalkan tambang pada kadar munasabah di samping memperluaskan perkhidmatan ke kawasan luar bandar serta lokasi yang kurang mendapat liputan.

Beliau berkata Maxim turut menggalakkan kerjasama dengan hospital, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi lain yang menyokong komuniti rentan bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan penting.

Dalam aspek teknologi, katanya, platform digital Maxim membolehkan pengguna menempah perjalanan dengan mudah, menikmati harga yang telus serta berhubung pantas dengan pemandu berdekatan.

Beliau berkata perkembangan teknologi akan membolehkan syarikat memperkenalkan lebih banyak ciri inovatif bagi meningkatkan aksesibiliti serta pengalaman pengguna, khususnya dalam kalangan komuniti inklusif.

Antara inisiatif diperkenalkan ialah perkhidmatan Mesra OKU yang menawarkan tempoh menunggu lebih panjang, bantuan pemandu terlatih, sokongan alat mobiliti serta ciri tempahan menggunakan pengecaman suara.

Penumpang digalakkan memaklumkan keperluan bantuan menerusi aplikasi bagi membolehkan sokongan sewajarnya diberikan sepanjang perjalanan.

Beliau berkata perkhidmatan e-hailing yang lebih mudah diakses membolehkan pengguna OKU bergerak lebih berdikari untuk ke tempat kerja, menghadiri kelas, temu janji perubatan dan aktiviti komuniti.

Selain itu, Maxim turut bekerjasama dengan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia bagi mempromosikan penggunaan ciri suara TalkBack serta meningkatkan kesedaran mengenai penyelesaian mobiliti digital yang mesra pengguna cacat penglihatan.

Pada masa sama, syarikat itu turut memperkenalkan inisiatif tambang khas bagi menyokong golongan OKU dan individu berkeperluan khas, sekali gus menjadikan pengangkutan lebih mampu milik dan inklusif.

Komitmen syarikat terhadap keterangkuman juga merangkumi sokongan kepada atlet para dan komuniti sukan adaptif, termasuk bantuan pengangkutan kepada perenang para dari Sarawak untuk menghadiri sesi latihan dan pertandingan.

Katanya Maxim percaya teknologi perlu boleh diakses semua pihak dan akan terus menambah baik platformnya dengan ciri mesra pengguna, selain bekerjasama rapat dengan rakan komuniti bagi memahami keperluan sebenar golongan OKU.

Menurut beliau, usaha berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat untuk memastikan inovasi mampu mewujudkan peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan