AM

Anwar Mahu Tanah Prasarana Dibangunkan Sebagai Perumahan Rakyat Berkonsep TOD

28/06/2026 02:29 PM

KLANG, 28 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tanah milik Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) yang terletak berhampiran stesen pengangkutan awam dibangunkan sebagai projek perumahan rakyat menerusi konsep Transit Oriented Development (TOD).

Beliau berkata pembangunan di kawasan strategik berdekatan stesen pengangkutan seperti Transit Aliran Ringan (LRT)  dan Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) juga perlu mengutamakan kemudahan parkir yang mencukupi serta ruang perniagaan untuk usahawan kecil dan sederhana.

"Pendekatan itu bukan sahaja dapat mengurangkan kos perjalanan rakyat dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, malah berpotensi menjana pulangan komersial yang lebih baik.

“Saya tidak fikir perumahan mewah patut diberi tumpuan di sini, tetapi perumahan rakyat, dan tentunya kedai serta gerai kecil dan sederhana dapat ditempatkan di situ untuk menambah nilai,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia, di sini, hari ini.

Anwar berkata beliau telah memberi mandat kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk menyegerakan pembangunan tanah milik Prasarana yang luas, khususnya di kawasan bandar yang padat penduduk, agar tidak dibiarkan tanpa pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata kerjasama erat antara Kementerian Pengangkutan, Prasarana, Kementerian Kewangan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu diperkukuh bagi mempercepat pelaksanaan projek TOD.

“Jadi, saya minta Ketua Setiausaha, Prasarana dan Menteri Besar Selangor dan Datuk Bandar Shah Alam memberikan kerjasama supaya hal ini dapat dilaksanakan dengan segera,” kata beliau.

Anwar berkata pembangunan perumahan rakyat di kawasan berdekatan stesen pengangkutan awam perlu dijadikan keutamaan kerana golongan berpendapatan rendah sukar memiliki rumah tanpa campur tangan dan sokongan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan reformasi birokrasi bagi mempercepatkan proses kelulusan projek pembangunan, termasuk perumahan rakyat.

Beliau berkata walaupun Malaysia menunjukkan peningkatan dalam laporan daya saing antarabangsa, namun usaha memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam masih perlu diteruskan.

“Kalau kita boleh tingkatkan kepantasan kita, kita boleh beri keselesaan kepada beribu-ribu orang. Yang kita nak tegaskan, jangan curi wang, jangan sakau, jangan guna kelewatan untuk ambil komisen yang bukan hak kita,” kata beliau.

Anwar berkata beliau mahu projek pembangunan tanah Prasarana di bawah konsep TOD menjadi contoh bagaimana kelulusan projek boleh dilaksanakan secara cekap dan pantas, dengan sasaran perumahan rakyat di sekitar Shah Alam dapat disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan tambang LRT3 Laluan Shah Alam dan perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana di laluan berkenaan akan diberikan secara percuma selama sebulan bermula 29 Jun (esok) hingga 31 Julai.

Sebelum itu, Anwar menaiki tren LRT3 dari stesen Seri Andalas ke stesen Johan Setia yang mengambil masa perjalanan kira-kira 15 minit sebelum menyempurnakan majlis pelancarannya.

Turut serta ialah Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan