JOHOR BAHRU, 27 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan barisan tokoh berwibawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi memastikan pembentukan kerajaan negeri yang bergerak seiring dengan pentadbiran Kerajaan Pusat.
Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu amat penting bagi memastikan segala perancangan dasar di peringkat Pusat yang memberi manfaat besar kepada rakyat Johor tidak berdepan sebarang masalah.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata susunan kerjasama di peringkat Pusat yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak berlaku di Johor memandangkan kerajaan negeri sedia ada telah ditubuhkan lebih awal.
“Walau apapun bentuk kerjasama, fokus Kerajaan Persekutuan ialah memastikan Johor sebagai satu komponen penting,” katanya kepada pemberita di luar pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Beliau hadir bersama Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari bagi mengiringi calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik.
Saifuddin Nasution yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata Kerajaan Pusat yang diterajui PH telah membuktikan bahawa pelbagai inisiatif ekonomi dan pembangunan yang dilaksanakan di Johor akan memberikan kesan limpahan manfaat kepada rakyat.
Beliau memberikan contoh pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang kini mula menunjukkan angka pelaburan masuk yang luar biasa, yang menuntut penyelarasan mantap antara kerajaan negeri dan Pusat.
Bagi menyokong agenda ekonomi tersebut, beliau berkata Kerajaan Persekutuan komited menyelesaikan isu kesesakan di Tambak Johor yang berlarutan sejak puluhan tahun melalui pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bernilai lebih RM1 bilion bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).
“Selain penggantian sistem MyIMMs kepada MyNIISe, langkah konkrit lain termasuklah pemasangan AutoGate dan pembukaan pintu masuk antarabangsa baharu melalui Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Bukit Chagar pada Disember ini,” katanya.
RTS dijangka mampu membawa antara 40,000 hingga 50,000 penumpang sehari pada peringkat permulaan dan meningkat sehingga 150,000 penumpang apabila mencapai kapasiti penuh, sekali gus menampung hampir separuh pergerakan harian di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial