AM

Kementerian Komunikasi Laksana Pelbagai Inisiatif Mampan Berpaksikan Rakyat Tahun Ini - Bahria

27/06/2026 05:24 PM

PORT DICKSON, 27 Jun (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menggerakkan pelbagai inisiatif mampan berpaksikan rakyat melalui pengukuhan infrastruktur digital, keselamatan siber dan pemantapan komunikasi komuniti sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) kementerian Datuk Bahria Mohd Tamil berkata Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) giat melaksanakan pengisian komuniti bersepadu di bawah seliaan kementerian itu.

"Di Negeri Sembilan, sebanyak 108 Komuniti MADANI telah ditubuhkan merangkumi 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Bagi kawasan Port Dickson dan Chuah, badan sukarela ini digerakkan secara aktif untuk menyebar luas maklumat sahih dasar-dasar kerajaan seperti bantuan tunai dan penyasaran subsidi, di samping berfungsi sebagai benteng tempatan dalam menangani penularan berita palsu serta fitnah dalam media sosial," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program MADANI Kita (PMK) 2026, yang dihadiri lebih 2,000 orang komuniti setempat berbilang bangsa termasuk anak muda, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah J-KOM Mohd Hisyamuddin Ghazali dan Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan Norazman Mohamad.

Bahria berkata Kementerian Komunikasi mengoptimumkan fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk melatih usahawan mikro di kawasan luar bandar, merapatkan jurang digital serta melahirkan penasihat teknologi dalam kalangan anak muda tempatan.

Selain itu, kementerian komited menaik taraf infrastruktur asas dan kesalinghubungan digital di kawasan luar bandar yang terpilih bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk secara menyeluruh.

"Bagi tahun ini, Kampung Angkat MADANI yang terpilih ialah Kampung Tebat Kering di Kuala Pilah, Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata Kempen Internet Selamat dan Perlindungan Kanak-Kanak di bawah kementerian melalui MCMC dilaksanakan selain penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak bagi memastikan pengesahan umur yang ketat pada platform digital.

Beliau berkata langkah itu penting bagi melindungi generasi muda daripada kandungan mudarat di samping memperkukuh kerjasama global mengekang jenayah penipuan dalam talian.

Mengenai PMK 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Sawah itu, Bahria berkata penduduk kampung berpeluang menikmati perkhidmatan pelbagai kaunter agensi kerajaan, pameran interaktif serta penerangan berhubung inisiatif kos sara hidup.

"Kerajaan juga mahu mendasari isu mahupun permasalahan setempat dan dalam masa sama hadir mendekati komuniti agar mereka mendapat maklumat yang jelas, memahami maklumat yang disampaikan dan akses mudah mendapatkan penerangan informasi yang tepat dan sahih," katanya.

Pada program itu, bantuan Bakul Rahmah MADANI dan replika cek sumbangan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) berjumlah RM5,000 turut diberikan kepada Persatuan Belia Kampung Pachitan.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan