GOPENG, 27 Jun (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak telah mewujudkan sebanyak 20 pusat pengumpulan sementara (PPS) buah-buahan bermusim di seluruh negeri berkenaan.
Pengarah FAMA Perak Azleena Zainal Abidin berkata PPS itu diwujudkan bagi memudahkan proses pengumpulan, pembersihan, penggredan dan pemasaran hasil buah-buahan, khususnya bagi durian yang kini memasuki musim puncak.
Beliau berkata pihaknya turut memperluaskan rangkaian pemasaran durian melalui Program Jualan Agro MADANI, Agrobazaar, jualan di pejabat kerajaan, kawasan perumahan serta pelbagai lokasi jualan strategik di seluruh negara.
“Inisiatif ini membolehkan pengguna mendapatkan durian segar yang berkualiti pada harga berpatutan, di samping membantu usahawan memasarkan hasil pertanian mereka dengan lebih pantas, sistematik dan berkesan.
“Bagi mengatasi lebihan hasil dan meningkatkan nilai tambah produk, Pusat Operasi FAMA Negeri Perak turut mengambil inisiatif melaksanakan aktiviti pemprosesan pes durian sebagai satu daripada strategi pemasaran dan penambahan nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jualan Agro MADANI Mega yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.
Azleena berkata inisiatif itu memberi peluang kepada pekebun memasarkan durian kampung yang sukar dijual dalam bentuk segar, di samping mengurangkan kerugian akibat lebihan hasil.
Menurut Azleena, melalui pemprosesan itu, durian dapat dihasilkan sebagai pes berkualiti yang mempunyai jangka hayat simpanan lebih panjang dan berpotensi dipasarkan kepada industri pemprosesan makanan, bakeri, pencuci mulut serta pasaran eksport.
Dalam pada itu, Azleena berkata FAMA Perak berjaya memasarkan 1,126 tan metrik durian dengan nilai jualan mencecah RM3.38 juta sepanjang tempoh 9 hingga 21 Jun lepas.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan jaringan pemasaran FAMA dalam memastikan hasil durian tempatan dapat disalurkan kepada pengguna secara efisien, sekali gus mengurangkan lambakan hasil di peringkat ladang dan memastikan pengusaha memperoleh pulangan yang lebih baik.
“FAMA Negeri Perak akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama usahawan, pengumpul, pemborong, peruncit serta agensi-agensi berkaitan bagi memperluaskan akses pasaran hasil pertanian tempatan.
“Apabila hasil pertanian mempunyai akses pasaran yang lebih luas, tersusun dan berdaya saing, pengusaha bukan sahaja memperoleh pulangan yang lebih baik tetapi turut menikmati bekalan produk segar yang berkualiti pada harga berpatutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial