KUALA NERANG, 28 Jun (Bernama) -- Sebanyak 34 peserta terdiri daripada 20 pengamal media dan 14 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai program latihan pengendalian bot anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah bersama-sama Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di Tapak Latihan Medan APM, Tasik Pedu, dekat sini.
Pengarah APM Kedah Leftenan Kolonel (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata program dua hari pada Jumaat dan semalam itu diadakan sebagai kesinambungan jalinan kerjasama erat antara APM dengan media, selepas kejayaan program ekspedisi berkayak di Baling pada tahun lepas.
“Melalui latihan berimpak tinggi ini, para peserta berpeluang merasai sendiri pengalaman sebenar mengendalikan bot penyelamat dalam pelbagai situasi simulasi bencana. Antara pengisian utama slot latihan termasuklah teknik pengendalian, iaitu cara menghidupkan enjin dan mengemudi bot dengan betul.
“Selain itu, peserta juga dapat memahami prosedur keselamatan air dan tindakan jika terjatuh ke dalam tasik, cara untuk membawa bot di kawasan arus tenang dan deras serta memahami kapasiti bot dan kesukaran yang dihadapi anggota penyelamat,” katanya pada majlis penutup program itu, semalam.
Sebelum latihan bermula, peserta telah diberi taklimat bagi menerangkan perjalanan program, aspek keselamatan, prosedur operasi serta peranan dan tanggungjawab sepanjang program dilaksanakan bagi memastikan ia berjalan dengan lancar, selamat dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Beliau berkata pendedahan itu dapat memberikan gambaran jelas kepada media dan NGO tentang ilmu serta kemahiran kritikal yang wajib dikuasai oleh seseorang anggota penyelamat ketika bertugas di lapangan.
“Program kali ini turut membabitkan pihak NGO yang sebelum ini jarang dilibatkan secara intensif dalam latihan operasi air. Langkah proaktif ini bertujuan memastikan mereka melengkapkan diri dengan ilmu penyelamatan asas yang betul sebelum turun menghulurkan bantuan di lokasi bencana.
“Kerjasama ini sekali gus dapat mengelakkan sebarang implikasi buruk serta mengatasi masalah teknikal ketika berada di lapangan. Empat NGO yang terlibat kali ini ialah Malaysia Relief Agency (MRA), Kedah 4x4 Club, Volunteer Team Kembara Kedah (VTKK) dan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB),” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Bukhori berharap ilmu asas pengendalian bot itu dapat menjadi pencetus semangat kepada peserta untuk menerokai pelbagai lagi siri latihan kepakaran yang ada dalam APM.
“Kita berharap jaringan kerjasama ini akan terus berkesan secara berterusan dengan perancangan program bertaraf tinggi yang lain pada masa hadapan, termasuklah kursus medic (pertolongan cemas), latihan di tempat tinggi (abseiling/repelling) dan pengendalian haiwan berbisa,” katanya.
Sementara itu, Presiden KMEK M Hifzuddin Ikhsan berkata program tersebut memberikan satu pengalaman baharu kepada pengamal media yang terlibat, sekali gus dapat memberikan pendedahan serta pemahaman tentang prosedur penyelamatan melibatkan bot yang sering dilaksanakan APM.
“Pengalaman ini sangat berbeza kerana media tidak pernah ada pengalaman mengendalikan bot, jadi selepas ini segala ilmu yang diperoleh dapat diguna pakai sekiranya berlaku sebarang bencana atau kecemasan.
“Saya berharap lebih banyak program dapat dianjurkan bersama bagi membolehkan rakan-rakan media serta NGO menimba lebih banyak ilmu daripada pihak APM sebagai persediaan apabila berdepan dengan sebarang bencana atau kecemasan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial