BATU PAHAT, 28 Jun (Bernama) --Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri, menyifatkan tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukan sekadar usaha meraih undi, sebaliknya manifestasi khidmat bakti yang telah dilaksanakan sejak empat tahun lepas.
Najib berkata gerak kerja berterusan termasuk menyelesaikan pelbagai isu kritikal setempat sebelum ini menjadikan tempoh rasmi kempen ketika ini bukan satu permulaan baharu, sebaliknya kesinambungan amanah yang perlu diteruskan.
“Kita sudah berkempen selama empat tahun. Segala projek sakit telah diselesaikan dan khidmat bakti telah dicurahkan sepenuhnya kepada seluruh warga DUN Parit Yaani,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN di Dataran Tanjung Simpang di sini, hari ini.
Mengulas saingan satu lawan satu di kerusi berkenaan, beliau mengakui pertembungan itu memberi cabaran tersendiri kepada parti, namun menegaskan jentera BN kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan kemenangan dapat dikekalkan.
Setakat ini, beliau memaklumkan momentum kempen fizikalnya telah mencapai hampir 80 peratus liputan kawasan demografi yang merangkumi tiga zon utama iaitu Parit Yaani, Tongkang Pechah dan Broleh sejak digerakkan pada awal bulan ini.
Menyentuh cabaran di ruang siber, Mohamad Najib mendedahkan terdapat sedikit penyusutan impak algoritma media sosial parti sejak semalam, namun menegaskan perkara itu tidak akan menjejaskan kelancaran kempen yang kini lebih agresif di lapangan.
Sementara itu, kempen BN di DUN Parit Yaani terus menerima suntikan tenaga tambahan menerusi kehadiran jentera BN Kedah yang digerakkan bagi memperkukuh penguasaan di kawasan Parlimen Sri Gading.
Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid memuji struktur jentera tempatan yang disifatkannya tersusun dan sistematik, sekali gus memudahkan penyelarasan tanpa perlu bermula dari awal.
Beliau berkata kelancaran logistik itu terbukti apabila kesemua 30 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Sri Gading melibatkan 17 PDM di Parit Yaani dan 13 PDM di Parit Raja telah dibuka dan beroperasi sepenuhnya sebaik sahaja tamat hari pertama proses penamaan calon.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial