KOTA BHARU, 28 Jun (Bernama) -- Sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin kini dikesan mengubah modus operandi dengan membawa masuk migran dalam kumpulan kecil bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melaksanakan kawalan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata taktik itu, bagaimanapun berjaya dipatahkan menerusi Operasi Taring Wawasan Kelantan (OTWK) Batalion 8 PGA dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas apabila menahan 13 warga Myanmar termasuk lima wanita dalam serbuan berasingan di Kampung Banggol Kemian, Pasir Mas, semalam.
Beliau berkata operasi bermula kira-kira 3.30 pagi selepas sepasukan anggota PGA bertindak atas risikan sebelum mengesan sebuah Proton Exora dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
"Apabila menyedari kehadiran anggota PGA, pemandu kenderaan terbabit bertindak memberhentikan kereta sebelum melarikan diri ke arah kawasan hutan berhampiran dan gagal dikesan.
"Hasil pemeriksaan menemukan empat lelaki warga Myanmar di bahagian tempat duduk belakang dan mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah sebelum mereka ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Radzi berkata melalui pemeriksaan lanjut di sekitar hutan lokasi berkenaan, sembilan lagi warga Myanmar yang dipercayai baru dibawa masuk ke negara ini melalui laluan haram ditahan kira-kira sejam kemudian.
"Kesemua yang ditahan memaklumkan mereka dibawa masuk dari Thailand melalui Sungai Golok oleh dua lelaki yang tidak dikenali sebelum ditinggalkan secara berperingkat di kawasan hutan bagi mengelakkan pergerakan dalam kumpulan besar dikesan pasukan keselamatan.
"Mereka dipercayai merancang untuk mendapatkan pekerjaan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata selain menahan 13 warga asing berumur antara 20 hingga 37 tahun, pihaknya turut merampas sebuah Proton Exora bernilai kira-kira RM30,000 yang dipercayai digunakan untuk mengangkut migran berkenaan.
Katanya, semua tangkapan diserahkan kepada BSJ IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial