JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Dilapor Hilang Di Taiping Selamat, Nafi Diculik

28/06/2026 08:56 PM

IPOH, 28 Jun (Bernama) -- Seorang wanita yang dilaporkan hilang di Taiping sejak 16 Jun lepas  membuat laporan di Balai Polis Kajang, Selangor hari ini dengan menafikan dakwaan dirinya telah diculik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Supt Mohd Ariffridzuan Ezahar berkata Nor Afiza Zainuddin, 41, membuat laporan itu kira-kira 3 petang tadi.

"Dalam laporan polis itu, wanita berkenaan turut memaklumkan dia tidak mahu diganggu oleh ahli keluarga mahu pun mana-mana pihak.

"Dia menjelaskan telah keluar dari rumah pada 16 Jun dengan kerelaan hati tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana individu," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata polis telah selesai merekodkan keterangan wanita terbabit dan mengesahkan laporan yang dibuat adalah benar.

“Orang Hilang (Nor Afiza) berada dalam keadaan baik, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sambil menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu.

Pada 24 Jun lepas, Mohd Ariffridzuan memaklumkan Nor Afiza kali terakhir dilihat keluar dari kediaman ibunya di Lorong Mewah 16, Taman Mewah, Kamunting pada 16 Jun dengan memandu kereta jenis Perodua Axia berwarna putih.

Polis menemukan Perodua Axia itu di tempat rekreasi Kampung Paya Lintang, Batu Hampar dekat Padang Rengas, pada 21 Jun dan pemeriksaan mendapati kenderaan itu dalam keadaan baik berserta kunci kereta.

Beberapa barangan milik Nor Afiza turut dijumpai di dalam kereta itu seperti fail sijil, beg telekung dan kasut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan