AM

Regatta Lepa Semporna Buka Ruang Kolaborasi Pelancongan Malaysia-Indonesia

28/06/2026 05:00 PM

SEMPORNA, 28 Jun (Bernama) -- Penganjuran Regatta Lepa edisi ke-31 tahun ini selama tiga hari berakhir hari ini berjaya membuka ruang kolaborasi pelancongan yang lebih luas antara Sabah, Malaysia dengan wilayah Kalimantan Utara di Indonesia.

Pemangku Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau Dino Nurwahyudin berkata menerusi festival kebudayaan berkenaan pihak konsulat menyajikan pelbagai lokasi tarikan dengan membawakan tema khusus "Wonderful Indonesia". 

Beliau berkata rangkaian kerjasama tersebut membolehkan pelancong asing yang berkunjung ke Sabah, terutamanya Semporna dapat melanjutkan lawatan mereka ke Indonesia dan sebaliknya.

Katanya, bagi menyokong usaha ketersambungan itu, penerbangan terus antara Tawau dan Tarakan yang ditutup semasa pandemik COVID-19 bakal dibuka semula. 

"Sebuah syarikat penerbangan Indonesia dijadualkan mengaktifkan semula laluan komersial tersebut menjelang Julai atau Ogos ini," katanya kepada Bernama.

Dino berkata pembukaan semula laluan udara berkenaan akan mewujudkan ketersambungan yang lebih selesa serta memudahkan pergerakan pengunjung mahupun pelancong dari kedua-dua negara. 

"Langkah itu juga diyakini dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan kepada rakyat, memandangkan pelancongan merupakan antara sumber pendapatan utama bagi Sabah dan Kalimantan Utara," katanya.

Dalam pada itu, Dino yang pertama kali menyaksikan pesta tradisi itu turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana memberikan fasiliti dan bot terbaik buat KRI Tawau sepanjang menyertai perayaan tersebut.

Sementara itu, ahli biologi marin dari Hainan, China, Chen Xiuying, 34, meluahkan rasa kagum terhadap penganjuran Regatta Lepa yang berjaya menggabungkan usaha pemeliharaan warisan budaya dengan kesedaran terhadap alam sekitar.

Beliau yang telah mengembara ke pelbagai destinasi pesisir pantai di seluruh dunia bagi tujuan penyelidikan berkata pemandangan perahu lepa yang diukir indah terapung di perairan jernih Semporna merupakan pengalaman menakjubkan.

Chen berkata sambutan penuh warna-warni itu mencerminkan hubungan erat masyarakat tempatan dengan persekitaran marin mereka, sekali gus menjadikan pengalaman tersebut begitu autentik dan sangat bermakna

"Di Hainan, kami juga mempunyai hubungan erat dengan laut, namun menyaksikan masyarakat di sini menghiasi jalan-jalan dengan ribuan bendera sambulayang yang berwarna-warni dan mempersembahkan tarian igal di atas bot kayu benar-benar memukau," katanya.

Beliau berkata lawatan ke perkampungan atas air dan peluang berinteraksi dengan penduduk tempatan memberikan gambaran mendalam mengenai kebijaksanaan masyarakat Bajau, khususnya dalam mengamalkan kehidupan yang lestari bersama biodiversiti lautan sejak sekian lama.

Sementara itu, pegawai bank dari Sembawang, Singapura, Marcus Vee, 29, berkata suasana meriah sepanjang tiga hari penganjuran Regatta Lepa memberikan pengalaman amat mengujakan.

Datang dari negara maju, beliau berkata Regatta Lepa menawarkan pengalaman unik khususnya apabila melihat masyarakat setempat berganding bahu menghiasi bandar dengan bendera sambulayang yang berwarna-warni.

"Festival ini membuktikan warisan budaya mampu merancakkan ekonomi tempatan dan memberi manfaat kepada perusahaan kecil serta usahawan mikro. Lebih mengagumkan, perahu lepa bukan sekadar tinggalan sejarah, malah terus diangkat sebagai lambang identiti yang dibanggakan dan diraikan oleh generasi muda," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan