POLITIK

PRN Johor: Penyandang Kerusi DUN Stulang Daripada PH Garis Empat Agenda Kempen

28/06/2026 06:33 PM

JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng, menggariskan empat agenda utama yang akan diketengahkan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan kebajikan penduduk setempat terbela, khususnya warga emas.

Empat agenda tersebut merangkumi pemerkasaan aktiviti pusat komuniti, latihan pengurusan penjagaan warga emas, penyediaan perkhidmatan pengiring perubatan serta bantuan pengurusan dokumen penulisan wasiat.

Chen yang akan mempertahankan kerusi berkenaan buat kali keempat berkata fokus terhadap agenda itu selaras dengan pelancaran kempen pilihan rayanya yang menekankan komitmen untuk terus mendengar suara rakyat serta membawa isu masyarakat setempat ke peringkat Dewan Undangan Negeri.

“Komitmen saya untuk memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat, menyelesaikan masalah, mendengar suara hati rakyat dan mengutarakan semua permasalahan ini dengan hati yang ikhlas,” kata Chen kepada pemberita ketika melancarkan kempen pilihan raya beliau di sini hari ini.

Beliau berkata pengukuhan peranan pusat komuniti akan terus diberi perhatian bagi mewujudkan ruang interaksi yang sihat untuk golongan veteran.

Pelbagai program dilaksanakan sebelum ini, katanya termasuk memasak, program Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, gubahan bunga serta menulis kaligrafi bukan sahaja mengisi masa lapang warga emas, malah menggalakkan interaksi sosial dan gaya hidup lebih sihat.

Pada masa sama, Chen berkata beliau turut melihat keperluan untuk memperkukuh pengetahuan masyarakat berkaitan penjagaan warga emas menerusi pendedahan mengenai kaedah pengurusan yang lebih sistematik.

Beliau berkata antara keutamaan lain yang diketengahkan ialah penyediaan sokongan pengiring perubatan bagi membantu warga emas yang tinggal bersendirian untuk mendapatkan rawatan di hospital atau klinik.

“Kadang-kadang anak-anak pergi kerja di tempat lain dan mereka tidak mempunyai orang untuk menjaga dan membantu ibu bapa ke hospital, klinik dan sebagainya. Saya akan bekerjasama dengan pengiring perubatan yang ada di kawasan saya untuk memberi perkhidmatan kepada mereka,” katanya.

Turut dimasukkan dalam agenda kempen beliau ialah inisiatif bantuan perundangan ringkas bagi menguruskan penulisan wasiat yang sering menjadi persoalan dalam kalangan penduduk setempat.

Kerusi DUN Stulang yang mempunyai 60,029 pemilih berdaftar menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Chen, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) Stanley Tan, Lim Chin Eng @ Roland Lim daripada Perikatan Nasional (PN) dan Bong Seng Heng yang mewakili Barisan Nasional (BN).

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/. 

-- BERNAMA

 

N45: STULANG -  60,029 pengundi

1. Andrew Chen Kah Eng (PH-DAP)

2. Stanley Tan (Bersama)

3. Lim Chin Eng @ Roland Lim (PN-Bersatu)

4. Bong Seng Heng (BN-MCA)

(2022: Andrew Chen Kah Eng: PH-DAP: Maj: 2,866)

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan