JERTIH, 28 Jun (Bernama) -- Kumpulan Agrobank dengan kerjasama rakan strategik di bawah Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) hari ini menganjurkan Karnival e-Celik Kewangan di Pulau Perhentian sebagai langkah proaktif untuk memperluas pendigitalan sistem pembayaran di pulau peranginan itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata program itu turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi, termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Pemilihan Pulau Perhentian sebagai lokasi tumpuan adalah kerana sebahagian besar sosio-ekonomi penduduknya bergantung kepada sektor pelancongan dan terlibat sebagai nelayan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program eCelik Wang yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian di sini hari ini yang turut dirasmikan Timbalan Gabenor Bank Negara Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Katanya, usaha mendigitalkan pulau itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada lebih 60 peniaga tempatan yang kini bersedia menerima pembayaran secara e-tunai dan digital.
Agrobank telah memperkenalkan penggunaan kod respons pantas (QR) DuitNow di kawasan terbabit sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata projek di pulau peranginan itu merupakan kesinambungan program pembangunan komuniti Agrobank susulan kejayaan pelaksanaan projek rintis seumpamanya di Pulau Sri Tanjung, Kelantan sebelum ini dan akan diperluaskan ke Kuala Perlis, Perlis sebagai lokasi seterusnya.
“Agrobank akan memberikan bimbingan pengurusan kewangan dan pemasaran digital untuk peniaga-peniaga di sini selama tiga bulan. Kami berharap pemahaman dan penggunaan teknologi digital dalam masyarakat di Pulau Perhentian akan terus meningkat dari masa ke masa melalui pantauan berterusan ini," katanya.
Dalam pada itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan FEN di bawah Kementerian Kewangan bagi meningkatkan tahap celik kewangan dan menyokong keterangkuman kewangan dalam kalangan komuniti luar bandar di seluruh negara.
Katanya, Agrobank telah mengenal pasti tapak strategik di pulau berkenaan bagi menyediakan perkhidmatan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) demi kemudahan penduduk serta pelancong pada bulan depan.
Sementara itu, beliau berkata Agrobank turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di SK Pulau Perhentian melalui pelancaran program e-Celik Wang.
Menerusi program itu, pelbagai aktiviti interaktif telah diadakan untuk mendedahkan kanak-kanak kepada asas pengurusan kewangan, kepentingan menabung, dan langkah mengurus wang dengan betul sejak dari usia muda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial