POLITIK

PRN Johor: Arthur Chiong Tekad Atasi Kesesakan, Lonjak Ekonomi Bukit Batu

30/06/2026 10:56 AM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KULAI, 30 Jun (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern komited meneruskan agenda pembangunan infrastruktur dan melonjakkan ekonomi setempat sebagai teras utama memperkukuh kesejahteraan penduduk.

Chiong, 36, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu berkata tekad tersebut diterjemahkan menerusi manifesto khusus yang akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi memastikan limpahan ekonomi terus dirasai rakyat.

Beliau berkata antara fokus utama pembangunan ialah menaik taraf infrastruktur jalan raya dengan mengemukakan permohonan pelebaran Jalan Persekutuan FT001 daripada dua kepada empat lorong untuk mengatasi kesesakan yang semakin meruncing di situ.

“Bagi langkah jangka pendek, penyelesaian secara berfasa akan dilaksanakan di kawasan titik panas kesesakan termasuk pemasangan sistem lampu isyarat pintar untuk melancarkan aliran trafik.

“Kita akan usahakan penyelesaian secara berfasa supaya pengguna jalan raya tidak perlu menunggu terlalu lama sementara projek pelebaran dilaksanakan,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Selain infrastruktur, Chiong berhasrat memperkasakan sektor pelancongan sebagai pemangkin baharu ekonomi komuniti di Kulai, khususnya DUN Bukit Batu melalui penganjuran pelbagai aktiviti dan penciptaan produk pelancongan yang lebih kompetitif.

 Beliau berkata terdapat potensi besar untuk menarik aliran pelancong dari Singapura supaya singgah di situ, bukannya terus ke lokasi lain.

“Disebabkan itu saya sering memohon kepada Tourism Johor supaya mewujudkan lebih banyak lokasi pelancongan baharu untuk menarik pelancong singgah dan berbelanja di Johor.

“Usaha ini penting supaya mereka singgah di Kulai, khususnya di Bukit Batu yang mempunyai pelbagai tarikan seperti Gunung Pulai sekali gus dapat merangsang ekonomi setempat,” katanya.

Selain itu, Chiong berkata berhasrat memperkasakan program jambatan kerjaya industri pusat data dan latihan peningkatan kemahiran melalui HRD Corp untuk memaksimumkan penyertaan tenaga kerja tempatan dalam sektor berteknologi tinggi.

“Sektor berteknologi tinggi sedang berkembang pesat dan Bukit Batu juga menerima pelaburan asing serta memiliki infrastruktur yang lengkap,” katanya. 

Selain aspek ekonomi, Chiong turut memberi perhatian terhadap isu sosial dengan mempergiat usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah dan rokok elektronik atau vape dalam kalangan belia menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan.

Mengenai strategi kempen untuk mendekati 49,963 pemilih, Chiong berkata beliau mengimbangi kaedah pertemuan bersemuka dengan penggunaan platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram untuk meraih sokongan pengundi muda serta mereka yang berada di luar kawasan.

Chiong berhadapan saingan lima penjuru di DUN Bukit Batu dengan menentang R. Kumaran daripada Barisan Nasional (BN), M. Premanand (MUDA), G. Tamili (Bersama) dan calon Bebas Datuk Kamaruzaman Ali.

PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai manakala pengundian awal pada 7 Julai. 

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA

 

N51: BUKIT BATU : 49,963

1. R. Kumaran (BN-MIC)

2. Kamaruzaman Ali (Bebas/IND)

3. G. Tamili (Bersama)

4. Chiong Sen Sern (PH-PKR)

5. M. Premanand (MUDA)

(2022: Chiong Sen Sern: PKR: Maj: 137)

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan