JOHOR BAHRU, 30 Jun (Bernama) -- Status Kota Iskandar sebagai kawasan yang menempatkan pusat pentadbiran negeri serta pelbagai projek pembangunan utama perlu diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai penduduk dan bukan sekadar menerusi angka pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar Dzulkefly Ahmad berkata tinjauan sepanjang tempoh berkempen mendapati masih terdapat beberapa isu asas menjadi kebimbangan penduduk dan memerlukan penyelesaian lebih menyeluruh.
Beliau berkata antara perkara sering dibangkitkan adalah isu infrastruktur, kesesakan lalu lintas, masalah banjir, status tanah rumah ibadat, kemudahan pendidikan dan keperluan untuk menambah baik kemudahan awam.
“Dengan pelaburan bernilai RM110 bilion, pendapatan negeri RM2.67 bilion dan rizab negeri RM2.8 bilion, rakyat sepatutnya dapat merasai manfaat pembangunan tersebut,” katanya kepada Bernama.
Dzulkefly berkata antara isu yang memerlukan perhatian adalah status pemilikan tanah beberapa rumah ibadat bukan Islam termasuk Kuil Ladang Lam Sam di Kangkar Pulai yang belum memperoleh penyelesaian berkaitan hak milik walaupun tanah itu telah diserahkan kepada kerajaan untuk dianugerahkan kepada pihak kuil.
Selain itu, beliau berkata keperluan menaik taraf laluan pintas ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di kawasan Nusantara melalui Bukit Tempurung yang belum diturap serta isu kesesakan lalu lintas di laluan FT005 dan J07 yang menghubungkan Johor Bahru dan Gelang Patah turut menjadi rungutan penduduk.
Menurut beliau, masalah banjir yang kerap melanda Kampung Baru Muafakat dan Kampung Pulai serta isu hak milik tanah penduduk Kampung Pulai Mutiara yang belum dimuktamadkan walaupun kawasan itu telah melalui proses pemutihan juga perlu diberi perhatian.
Dzulkefly berkata penyelesaian terhadap isu berkenaan memerlukan koordinasi antara agensi dan tidak boleh bergantung kepada pendekatan sementara.
“Saya melihat beberapa penyelesaian yang dilaksanakan sebelum ini lebih bersifat sementara dan ad hoc. Apa yang diperlukan adalah penyelesaian jangka panjang yang dapat mengurangkan kesesakan secara menyeluruh kerana ia melibatkan kehidupan harian penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly berjanji untuk mengusahakan pembinaan sebuah pasar awam baharu di Gelang Patah jika PH diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai.
Beliau berkata kemudahan sedia ada yang dikenali sebagai Pasar Taman Nusa Perintis berhadapan beberapa isu termasuk pemilikan tanah, ruang parkir dan infrastruktur yang tidak lagi dapat memenuhi keperluan kawasan yang berkembang pesat.
“Justeru, sekiranya PH membentuk kerajaan, kita akan memastikan sebuah pasar awam baharu diwujudkan kerana Gelang Patah bukan kawasan biasa. Pusat pentadbiran negeri terletak di sini, begitu juga Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Legoland dan Puteri Harbour,” katanya.
Mengenai pendekatan kempen, Dzulkefly berkata kaedah bersemuka akan terus menjadi keutamaannya supaya dapat mendengar masalah rakyat secara langsung, selain memanfaatkan media sosial dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) untuk mendekati pengundi muda dan Generasi Z.
DUN Kota Iskandar yang mempunyai 132,579 pemilih berdaftar menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Dzulkefly, calon Perikatan Nasional (PN) S. Anna Pravina, penyandang kerusi Datuk Pandak Ahmad daripada Barisan Nasional (BN) dan Sahrudin Omar mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N49: KOTA ISKANDAR - 132,579 pengundi
1. S. Anna Pravina (PN-MIPP)
2. Dzulkefly Ahmad (PH-Amanah)
3. Datuk Pandak Ahmad (BN-UMNO)
4. Sahrudin Omar (Bersama)
(2022: Datuk Pandak Ahmad: BN-UMNO: Maj: 4,360)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial