AM

Talian Kasih Rekod 9,327 Aduan Keganasan Rumah Tangga Sejak 2022 - Lim

30/06/2026 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Talian Kasih 15999 merekodkan sebanyak 9,327 panggilan berhubung kes keganasan rumah tangga bagi tempoh 2022 sehingga Mei lepas, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying.

Lim berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 127,000 panggilan membabitkan pelbagai aduan sosial dan kebajikan yang diterima sepanjang tempoh berkenaan.

“Daripada jumlah panggilan keganasan rumah tangga yang diterima itu, kesemua aduan bagi tempoh 2022 hingga 2025 telah berjaya diselesaikan sepenuhnya.

“Manakala bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 470 aduan telah diterima dengan 406 kes daripadanya selesai, manakala baki 64 aduan lagi masih dalam tindakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang ingin tahu tahap keberkesanan Talian Kasih dan kadar kes yang berjaya menerima intervensi susulan.

Lim berkata antara tindakan susulan yang diambil bagi melindungi keselamatan mangsa adalah bantuan mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), Perintah Perlindungan Sementara (IPO), atau penempatan ke pusat perlindungan yang selamat.

Selain itu, katanya, trend kes keganasan rumah tangga kini tidak lagi terhad kepada golongan wanita, malah turut memperlihatkan peningkatan kes yang melibatkan lelaki sebagai mangsa.

“Walaupun jumlah mangsa lelaki lebih kecil, trend peningkatan ini tetap ada. Justeru di bawah kementerian, kita tidak hanya melindungi golongan wanita, sebaliknya menjaga kebajikan semua kaum dan jantina tanpa prejudis,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan