AM

15,881 PJRM Dilaksanakan Di Seluruh Negara Sehingga Jun - Armizan

30/06/2026 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan 15,881 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata secara keseluruhannya, pelaksanaan PJRM meliputi semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta seluruh 40 Zon di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

“Kerajaan komited untuk meningkatkan kekerapan penganjuran PJRM di seluruh negara. Ini sejajar dengan maklum balas positif yang diterima daripada pelbagai pihak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta jumlah pelaksanaan terkini PJRM mengikut kawasan DUN di seluruh negara dan bertanya kesediaan KPDN untuk meningkatkan kekerapan pelaksanaan PJRM bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Armizan berkata pelaksanaan PJRM menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun, iaitu sebanyak 6,870 siri pada 2023 yang meningkat kepada 12,419 siri (2024) dan 25,708 siri (2025).

Menurut beliau, sasaran awal 23,040 siri bagi tahun ini turut ditingkatkan kepada 30,000 siri susulan pengumuman Perdana Menteri pada Mei lepas sebagai langkah intervensi terhadap krisis tenaga dan bekalan akibat konflik Asia Barat.

Dalam pada itu, Armizan berkata sejak 2023 di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, pelaksanaan program jualan murah kerajaan diperkukuh melalui lima pendekatan strategik.

Beliau berkata langkah pertama melibatkan tindakan menginstitusikan PJRM sebagai sebuah program tetap dalam belanjawan tahunan kerajaan bermula 2024 dengan butiran kod aktiviti dan peruntukan khusus di bawah agenda Payung Rahmah.

“Pendekatan kedua adalah menetapkan sasaran tahunan dan jumlah kekerapan mengikut DUN dan zon bagi pelaksanaan PJRM. Ini berbeza daripada penganjuran jualan murah kerajaan sebelum ini yang dilaksanakan secara ad hoc mengikut keperluan,” katanya.

Bagi pendekatan ketiga, beliau berkata kerajaan membuka ruang penglibatan syarikat, perniagaan dan koperasi bagi subsektor peruncitan dalam pelaksanaan PJRM dengan penglibatan 2,695 rakan strategik peruncitan sehingga 29 Jun.

Langkah keempat pula melibatkan usaha memperluas akses rakyat kepada penganjuran menerusi tiga kaedah, iaitu dalam premis, luar premis (statik) dan PJRM bergerak serta penganjuran bertema seperti PJRM musim perayaan, hari gaji dan musim buka sekolah meliputi kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

“Pendekatan kelima ialah memperkenalkan Takwim PJRM bermula 2025 yang memberikan maklumat awal kepada rakyat berhubung penganjuran PJRM meliputi tarikh, masa dan tempat, membolehkan rakyat menyemak penjadualan PJRM di kawasan sekitar dan membuat perancangan pembelian lebih awal,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan