JENAYAH & MAHKAMAH

Tiada Unsur Jenayah Kes Pelajar 13 Tahun Jatuh Bangunan Sekolah - Polis

30/06/2026 08:14 PM

IPOH, 30 Jun (Bernama) -- Tiada sebarang unsur jenayah dalam kes membabitkan seorang pelajar tingkatan satu yang dilaporkan terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah baru-baru ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata setakat ini lima saksi telah dirakam percakapan dalam kalangan rakan mangsa dan guru.

“Setakat hari ini, keterangan rakan mangsa mengatakan mangsa seorang diri naik ke bahagian atas tangki air dan dengan cuai telah terjatuh ke bawah tingkat tiga (aras yang sama) di bahagian tepi tangga. Tiada unsur-unsur jenayah.

“Klasifikasi kes masih ROA (rujuk kepada agensi lain) untuk tindakan pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mangsa kini telah sedarkan diri dan dipindahkan ke sebuah hospital swasta di sini daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pada 22 Jun lepas, seorang pelajar lelaki tingkatan satu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di dalam kawasan sebuah sekolah menengah di sini hari ini.

Keesokannya pula, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak memaklumkan mereka memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan berhubung insiden itu, selain turut menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek yang berkaitan dengan kejadian berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan