KUANTAN, 30 Jun (Bernama) -- Anggota Barisan Nasional (BN) Pahang kini berada Johor bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) itu terutamanya di empat Dewan Undangan Negeri (DUN), kata pengerusinya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata empat DUN tersebut ialah Pekan Nanas, Pulai Sebatang, Benut dan Kukup yang terletak di bawah Parlimen Tanjung Piai.
"Insya-Allah pada Khamis ini saya akan ke kawasan FELDA di Segamat bagi membantu jentera parti di sana," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Guru Pahang 1st 2026 dan penyampaian hadiah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Beliau berkata berdasarkan komitmen jentera dan sambutan yang diterima daripada pengundi pihaknya berkeyakinan BN mampu mencatat kemenangan pada PRN Johor ke-16 ini.
“Saya berada di Johor selama tiga hari bermula pada hari penamaan calon dan saya melihat sendiri semangat jentera yang sangat baik. Calon yang ditampilkan BN turut mempunyai semangat tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata hasil kutipan Kerajaan Negeri Pahang setakat tahun ini telah mencecah RM740 juta, berbanding sekitar RM600 juta pada tempoh sama tahun lepas, sekali gus menunjukkan prestasi kewangan negeri berada pada tahap yang sangat baik.
“Sebelum penghujung Jun, kutipan hasil sudah melepasi RM700 juta, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini walaupun keadaan ekonomi dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat. Saya yakin sasaran kutipan hasil sebanyak RM1 bilion tahun ini mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial