KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Ciri keselamatan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) akan terus dipertingkatkan secara berkala, bagi memastikan dokumen perjalanan yang kini berada pada kedudukan ketiga paling berkuasa di dunia itu kekal selamat, sukar dipalsukan dan mematuhi piawaian antarabangsa.
Ketua Pengarah Imigresen Dato’ Zakaria Shaaban berkata walaupun tiada kes pemalsuan fizikal buku pasport dikesan setakat ini, penambahbaikan ciri keselamatan perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa, bagi mengelakkan maklumat berkaitan ciri keselamatan sedia ada diketahui pihak tidak bertanggungjawab.
“Pasport tidak boleh kekal dengan ciri keselamatan yang sama dalam satu tempoh yang terlalu lama, kerana risikonya semakin tinggi apabila orang mengetahui ciri-ciri keselamatan yang digunakan.
“Lagi kerap kita tukar, lagi baik, namun proses menghasilkan pasport baharu memerlukan tempoh yang panjang, kerana perlu mematuhi piawaian antarabangsa termasuk mendapat kelulusan mengikut standard ICAO (Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata kali terakhir Malaysia memperkenalkan rekaan baharu pasport ialah pada 2016, sebelum penambahbaikan kecil dilakukan pada 2023.
Zakaria berkata PMA versi baharu dilengkapi 94 ciri keselamatan termasuk hologram, imej pendam, cetakan pelangi, cetakan ultraungu (UV), cip biometrik serta penggunaan bahan polikarbonat yang dipertingkatkan bagi mengukuhkan aspek keselamatan dokumen itu.
Beliau berkata kebanyakan ciri keselamatan berkenaan tidak dapat dikenal pasti dengan mata kasar, kerana memerlukan peralatan forensik seperti mikroskop dan alat pengimbas khas.
“Satu pembaharuan yang jelas boleh dilihat oleh orang ramai ialah penggunaan gambar pemilik pasport yang berwarna, berbanding gambar hitam putih yang digunakan sebelum ini,” katanya.
Zakaria berkata PMA versi baharu itu masih mematuhi spesifikasi dan standard ICAO, sekali gus membolehkannya dibaca menggunakan mesin pengimbas pasport sedia ada di seluruh dunia, namun tertakluk kepada sistem, prosedur dan keupayaan imigresen negara yang dikunjungi.
Beliau turut menegaskan pemegang pasport sedia ada tidak perlu tergesa-gesa menukar pasport masing-masing, kerana ia kekal sah sehingga tamat tempoh manakala hanya mereka yang membuat permohonan baharu atau pasport yang hampir tamat tempoh perlu mendapatkan PMA versi baharu.
Zakaria berkata fasa pertama pengeluaran PMA versi baharu bermula esok di 14 Pejabat Pengeluar Pasport utama termasuk Ibu Pejabat JIM Putrajaya, Jalan Duta, Melaka, Kelana Jaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan beberapa Pusat Transformasi Bandar (UTC) terpilih di seluruh negara.
Beliau berkata PMA baharu dijangka dapat dikeluarkan di semua 71 pejabat imigresen di seluruh negara menjelang 4 Ogos, sebelum diperluas ke Pejabat Atase Imigresen JIM di luar negara.
Zakaria berkata orang ramai kini mempunyai pilihan tempoh sah laku pasport selama 10 tahun dengan kadar bayaran RM350, selain tempoh lima tahun pada kadar RM200, sekali gus mengurangkan keperluan pembaharuan pasport secara lebih kerap.
Dalam pada itu, beliau berkata purata permohonan PMA di seluruh negara adalah antara 180,000 hingga 200,000 sebulan, bersamaan kira-kira 10,000 hingga 12,000 permohonan setiap hari.
Mengulas mengenai rekod keselamatan PMA, Zakaria berkata kes penipuan yang dikesan setakat ini bukan melibatkan pemalsuan fizikal buku pasport, sebaliknya sindiket yang memanipulasi proses permohonan bagi memperoleh pasport tulen secara tidak sah.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PMA versi baharu di Lobi Parlimen hari ini, dengan majlis itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pada majlis berkenaan, Anwar dan Saifuddin Nasution menerima PMA versi baharu masing-masing daripada Zakaria sebagai simbolik gimik pelancaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial