KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan menyusun semula hala tuju pengurusan penggajian pekerja asing di negara ini bagi memastikan pelaksanaannya lebih terselaras, cekap dan menepati keperluan industri.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu antara persetujuan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing yang dipengerusikannya di Parlimen hari ini.
Beliau berkata mesyuarat itu mencapai beberapa persetujuan utama termasuk berkaitan keahlian dan terma rujukan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat berkenaan turut bersetuju supaya Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing atau One Stop Centre diselaraskan di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan sistem pengurusan pekerja asing menjadi lebih cekap dan berintegriti, di samping mengimbangi keperluan industri, keselamatan negara serta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Selain itu, beliau berkata kerajaan akan meneliti semula keperluan tenaga kerja asing secara lebih bersasar berdasarkan keperluan sebenar industri.
Pada masa sama, katanya, kerajaan kekal komited mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui peningkatan penyertaan tenaga kerja tempatan, pengukuhan pekerja mahir serta peralihan industri ke arah automasi.
Beliau berkata setiap langkah yang diambil kerajaan dalam pengurusan pekerja asing akan terus berpaksikan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial