DUNIA

Singapura Hormati Keputusan ICJ, Amat Bimbang Isu Kemanusiaan Di Myanmar

24/11/2026 11:29 PM

SINGAPURA, 24 Nov (Bernama) -- Singapura menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes yang dibawa oleh Gambia terhadap Myanmar di bawah Konvensyen Genosid.

"Kami menegaskan semula komitmen terhadap kedaulatan undang-undang antarabangsa dan penyelesaian pertikaian secara aman, serta sedang meneliti implikasi keputusan itu," menurut Kementerian Luar dalam kenyataan pada Selasa.

Kementerian itu turut menyuarakan kebimbangan mendalam mengenai situasi keselamatan dan kemanusiaan di Myanmar, termasuk nasib etnik Rohingya, pelarian dan individu yang kehilangan tempat tinggal di dalam negara itu.

"Kami mengulangi gesaan sejak sekian lama supaya keadaan yang membolehkan penghantaran pulang pelarian secara selamat, sukarela dan bermaruah diwujudkan," menurut kementerian itu.

Republik itu juga bersedia untuk terus membantu memenuhi keperluan kemanusiaan individu yang kehilangan tempat tinggal dengan bekerjasama dengan ASEAN dan rakan antarabangsa lain.

Ini termasuk menerusi Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana, menurut kementerian itu.

Pada 19 Nov 2026, mahkamah itu memutuskan bahawa Myanmar telah melakukan genosid terhadap etnik Rohingya di utara Negeri Rakhine, sekali gus melanggar obligasinya di bawah konvensyen berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan