Safiah (bukan nama sebenar), pada mulanya menganggap benjolan kecil bersaiz syiling 20 sen di betisnya sekadar bisul bernanah dan dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta yang menjalankan prosedur pembersihan nanah.
Namun, tidak lama selepas menjalani prosedur itu, benjolan muncul semula dan kian membesar, mendorong wanita berusia 50-an ini kembali ke klinik sama untuk membuang keseluruhan ketumbuhan.
Bagaimanapun usaha itu membuatkan keadaan bertambah serius apabila benjolan kian membesar dan terjojol di atas permukaan kulit, menyerupai bentuk bunga kubis selain berlaku pendarahan. Tubuhnya juga melemah.
Wanita itu akhirnya dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan benjolan berkenaan sebenarnya sejenis kanser yang jarang berlaku, dikenali sebagai sarkoma.
KANSER TISU LEMBUT DAN TULANG
Pakar Perunding Ortopedik Onkologi di Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HCTM Dr Mohamed Hafizudin Abdullah Sani berkata sarkoma merupakan kumpulan kanser yang berbeza daripada karsinoma, iaitu jenis kanser yang lebih lazim diketahui masyarakat.
“Karsinoma berasal daripada sel epitelium yang melapisi permukaan atau organ tubuh, manakala sarkoma pula bermula daripada sel mesenkimal yang membentuk pelbagai tisu sokongan badan.
“Kanser ini boleh berlaku pada tisu lembut seperti otot, lemak dan salur darah, selain tulang, bergantung pada jenis sel dan tisu yang terlibat,” katanya ketika ditemui Bernama.
Mengulas lanjut, beliau berkata sarkoma tisu lembut biasanya lebih sukar dikenal pasti pada peringkat awal kerana sesetengah ketumbuhan tidak menimbulkan rasa sakit. Malah, ada yang membesar secara perlahan dalam tempoh berbulan-bulan atau lebih lama.
Rasa sakit hanya berlaku apabila ketumbuhan itu membesar dan menekan struktur berhampiran, tambah beliau.
“Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah benjolan yang semakin membesar, terasa padat atau keras, berada jauh di dalam tisu serta mempunyai saiz melebihi lima sentimeter (sebesar bola golf atau telur ayam gred kecil).
“Perubahan fizikal pada permukaan kulit seperti kulit menegang, kemerahan atau kebiruan, selain urat darah cetek yang semakin jelas kelihatan juga boleh menjadi petunjuk yang memerlukan pemeriksaan lanjut,” katanya.
Bagi sarkoma tulang pula, corak gejalanya berbeza kerana pesakit lazimnya mengalami kesakitan pada bahagian tulang terlebih dahulu sebelum bengkak mula kelihatan dengan jelas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ciri-ciri berkenaan bukan pengesahan seseorang menghidap kanser, sebaliknya adalah tanda amaran yang memerlukan individu itu mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
PERANGKAP 'WHOOPS SURGERY' DAN PENCEMARAN TISU
Mengulas lanjut, Dr Mohamed Hafizudin berkata antara cabaran dalam pengurusan sarkoma ialah prosedur pembuangan ketumbuhan yang dilakukan sebelum kanser dikenal pasti, yang dirujuk pakar sebagai “whoops surgery”.
“Whoops surgery merujuk situasi apabila ketumbuhan dibuang tanpa perancangan onkologi yang sesuai, kawasan pembedahan berisiko tercemar oleh sel tumor. Keadaan ini seperti cubaan membersihkan kawasan kotor tetapi menyebabkan kotoran semakin berselerak.
“Akibatnya, pakar sukar mengenal pasti bahagian tisu yang telah terdedah kepada sel tumor dan pesakit mungkin memerlukan pembedahan semula dengan kawasan pembuangan yang lebih luas,” jelasnya.
Mengambil contoh kes Safiah, beliau berkata prosedur yang dilakukan di klinik swasta sebelum pesakit dirujuk ke HCTM bukan berdasarkan pendekatan pembedahan khusus untuk sarkoma, sekali gus menyukarkan pasukan perubatan menentukan keluasan sebenar kawasan yang perlu dibuang.
Ketika dirujuk ke HCTM, ketumbuhan itu sudah membesar dan melibatkan tisu lembut serta tulang, menjadikan perancangan pembedahan lebih mencabar.
“Pembedahan sarkoma memerlukan perancangan teliti kerana tumor perlu dibuang bersama-sama margin tisu sihat yang mencukupi, termasuk mengambil kira kemungkinan kewujudan nodul satelit atau kawasan reaktif di sekelilingnya.
“Nodul satelit boleh diumpamakan seperti benih atau akar yang wujud di sekitar ketumbuhan utama dan perlu diambil kira ketika menentukan keluasan kawasan pembuangan tumor,” jelas beliau lagi.
Justeru, katanya, benjolan yang mencurigakan perlu dinilai terlebih dahulu sebelum sebarang prosedur pembuangan dilakukan.
Ditanya tentang faktor yang menyumbang kepada “whoops surgery”, Dr Mohamed Hafizudin berkata hal itu berlaku disebabkan ada pengamal perubatan am (GP) di klinik yang kurang menyedari kewujudan kanser sarkoma serta tanda-tanda awal penyakit tersebut.
Justeru, katanya, HCTM giat menjalankan usaha meningkatkan kesedaran menerusi program kesedaran, simposium dan bengkel khusus untuk GP.
“Usaha ini bertujuan membantu pengamal perubatan mengenal pasti tanda-tanda yang mencurigakan serta membuat rujukan awal ke pusat tertiari yang mempunyai kepakaran berkaitan, sekali gus mengurangkan risiko prosedur yang tidak sesuai sebelum diagnosis sarkoma dapat dipastikan,” tambahnya.
REALITI BEBAN KES DAN KEJAYAAN “LIMB SALVAGE”
Mengulas lanjut kes Safiah, beliau berkata pada peringkat awal pakar perubatan menimbang amputasi sebelum pasukan multidisiplin memilih pendekatan pembedahan kompleks untuk membuang tumor dan membina semula kawasan yang terjejas bagi mengekalkan anggota berkenaan.
“Selepas pembedahan berjaya, terdapat sebahagian kecil tisu yang dipindahkan untuk menutup kawasan pembedahan mengalami kerosakan pada bahagian pinggir (edge necrosis), namun akhirnya bahagian yang terjejas itu pulih sendiri. Dia juga dapat kembali berjalan enam minggu selepas pembedahan dijalankan,” kongsinya.
Menurut Dr Mohamed Hafizudin, dalam konteks pesakit sarkoma, pasukan perubatan lazimnya akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan anggota tubuh yang terjejas dan memastikan pengekalan fungsi anggota terbabit.
Beliau berkata keputusan untuk mengekalkan anggota tubuh bergantung pada beberapa pertimbangan utama, termasuk keupayaan mendapatkan margin pembuangan tumor yang selamat, kemungkinan membina semula bahagian tisu yang hilang serta kebolehan mengekalkan atau memulihkan fungsi anggota melalui pemeliharaan struktur penting seperti saraf dan salur darah.
“Jika pembuangan tumor tidak dapat dilakukan dengan margin yang selamat atau anggota berkenaan dijangka tidak mempunyai fungsi yang memadai selepas rawatan, amputasi masih boleh menjadi pilihan yang sesuai dari sudut perubatan.
“Ini kerana kejayaan rawatan sarkoma perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan pembuangan tumor, tetapi juga keupayaan pesakit untuk menjalani kehidupan dengan fungsi anggota yang dapat digunakan kembali dengan sebaik mungkin,” tambahnya.
Mengulas pengurusan kes di hospital tersebut, beliau berkata pasukannya mengendalikan sekitar dua hingga tiga pembedahan sarkoma setiap bulan, bersamaan kira-kira 24 hingga 25 pembedahan setahun.
"Namun, realitinya beban kes yang dirujuk ke pusat tertiari sentiasa mencabar dengan majoriti pesakit dirujuk pada peringkat lewat berikutan kelewatan pengesanan awal," ujarnya.
KEAJAIBAN MIKROSURGERI REKONSTRUKTIF
Kebiasaannya selepas pembedahan membuang tumor, pesakit yang kehilangan sejumlah besar tisu lembut, otot atau tulang mungkin memerlukan pembedahan rekonstruktif bagi menutup kawasan pembedahan serta membina semula struktur tubuh yang terjejas.
Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif di Jabatan Surgeri HCTM Dr Adzim Poh Yuen Wen berkata pasukannya berperanan membina semula bahagian tubuh yang kehilangan tisu selepas pembedahan membuang kanser.
Beliau menjelaskan pembedahan rekonstruktif bukan sekadar bertujuan menutup kawasan yang kehilangan tisu, tetapi turut memberi perhatian kepada usaha mengembalikan fungsi anggota, yang meliputi pembinaan semula struktur otot dan melakukan pemindahan tulang sebenar yang mempunyai bekalan darah sendiri.
Jelasnya, antara teknik yang digunakan ialah pemindahan tulang fibula (free vascularised fibula flap), iaitu prosedur mengambil sebahagian tulang fibula, sejenis tulang kecil di bahagian betis, bersama-sama dengan salur darahnya untuk menggantikan bahagian tulang yang hilang.
Beliau berkongsi pengalaman mengendalikan kes seorang pesakit dengan ketumbuhan sarkoma yang sangat besar di bahagian paha.
Katanya, selepas tumor dibuang, tulang paha dan arteri femoral pesakit menjadi terdedah, manakala sebahagian otot yang diperlukan untuk meluruskan lutut turut terjejas.
"Bagi membantu memulihkan fungsi lutut, pasukan kami memindahkan otot latissimus dorsi, iaitu otot lebar pada bahagian belakang badan yang sering digunakan sebagai tisu penderma, ke bahagian hadapan paha untuk membantu menggantikan fungsi otot yang terjejas.
"Pemindahan itu turut melibatkan tisu, kulit, salur darah dan saraf yang disambungkan kepada struktur sedia ada bagi membolehkan tisu berkenaan menerima bekalan darah serta menyokong fungsi pergerakan," katanya.
ISU KEKANGAN PAKAR DAN HARAPAN BAHARU
Selain kepakaran dalam rawatan dan pembuangan tumor, Dr Mohamed Hafizudin berpendapat ketersediaan pasukan rekonstruktif turut memainkan peranan penting bagi memastikan pesakit mendapat rawatan menyeluruh.
Menurut beliau, setahunya, pada masa ini hanya terdapat sekitar 25 hingga 30 pakar ortopedik onkologi di seluruh negara yang berkhidmat di beberapa pusat rujukan utama negara termasuk HCTM, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Pulau Pinang.
“Jumlah pakar yang kecil berbanding keperluan terhadap subkepakaran ini menuntut masyarakat agar mengambil tahu dan meningkatkan kesedaran tentang sarkoma, sekali gus menekankan betapa pentingnya rujukan awal dilakukan ke pusat tertiari tanpa mengambil mudah sebarang benjolan luar biasa pada tubuh,” nasihatnya.
Dari sudut rekonstruksi pula, Dr Adzim berkata kepakaran pembedahan plastik dan mikropembedahan di Malaysia telah berkembang sehingga membolehkan pelbagai prosedur kompleks dilakukan oleh pakar tempatan.
Tambahnya, prosedur rekonstruktif bagi kes sarkoma di HCTM berjaya dilakukan tanpa komplikasi dengan kadar kejayaan sekitar 98 peratus bagi setiap pembedahan.
Menutup perbincangan, kedua-dua pakar itu mengingatkan orang ramai agar tidak membiarkan ketakutan mengetahui kebenaran menghalang mereka daripada mendapatkan pemeriksaan dan rawatan, memandangkan kemajuan perubatan di Malaysia menawarkan pelbagai pilihan rawatan dan rekonstruksi bagi membantu pesakit meneruskan kehidupan dengan fungsi serta kualiti hidup yang sebaik mungkin.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial