KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini melakar kejayaan membanggakan apabila merangkul tiga anugerah pada Majlis Apresiasi Media Bersama Menteri Kesihatan Tahun 2026 di sini.
Wartawan meja Gaya Hidup (Lifestyle) Nurhafizah Tan dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama kategori Anugerah Rencana Terbaik yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab, serta Ketua Pengarang Bernama Datuk Arul Rajoo Durar Raj.
Pasukan Media Digital (Digital Media) Bernama yang dianggotai Fatin Nabihah Marzuki, Khairil Anuar dan Shafiq Hashim meraih tempat kedua kategori Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik, manakala jurufoto meja Foto, Mohd Asri Saifuddin Mamat memenangi tempat kedua kategori Anugerah Foto Terbaik.
Anugerah Kesihatan Media Tahun 2026 ialah platform pengiktirafan bagi merangsang kreativiti dan menggalakkan penghasilan karya kewartawanan kesihatan berimpak tinggi, yang mendorong perubahan tingkah laku positif dalam masyarakat.
Terdahulu, Dzulkefly dalam ucapannya berkata pengamal media arus perdana dan bertauliah memainkan peranan penting sebagai benteng fakta dalam melindungi masyarakat daripada kekeliruan akibat lambakan maklumat kesihatan palsu atau infodemik dalam media sosial.
Beliau berkata pelaporan yang teliti, berfakta serta menggunakan pendekatan komunikasi risiko secara matang dan penuh empati mampu membina literasi kesihatan rakyat, sekali gus mengelakkan masyarakat terjerumus dalam stigma atau kebimbangan awam.
“Rakan-rakan media adalah penghubung terpenting antara KKM dengan rakyat bagi memastikan masyarakat bukan sahaja menerima maklumat, malah mampu membuat keputusan tepat demi kesihatan diri dan keluarga.
“Inilah kecantikan etika kewartawanan yang sebenar, iaitu membantu masyarakat melihat gambaran keseluruhan agar mereka lebih bersedia dan sedar,” katanya ketika berucap pada majlis itu di sini hari ini.
Beliau turut menggalakkan pengamal media untuk terus meneroka sudut pelaporan berunsur kemanusiaan merangkumi pengorbanan petugas barisan hadapan, ketabahan pesakit serta kejayaan inisiatif kesihatan digital, konsultasi maya dan klinik bergerak.
Sementara itu, Nurhafizah ketika ditemui pemberita menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai bukti peranan media arus perdana terus dihargai walaupun berdepan saingan sengit daripada platform media sosial.
“Saya tidak menyangka akan terpilih, namun kemenangan ini membuktikan KKM menghargai inisiatif pengamal media dalam mengetengahkan isu-isu kesihatan serta meningkatkan kesedaran masyarakat,” katanya.
Anugerah Kesihatan Media Tahun 2026 mempertandingkan lima kategori utama, iaitu Anugerah Laporan Terbaik, Anugerah Rencana Terbaik, Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik, Anugerah Dokumentari Terbaik dan Anugerah Foto Terbaik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial