AM

UniSZA Raih Dua Anugerah Di SIAC 2026

25/11/2026 11:33 AM

KUALA NERUS, 25 Nov (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meraih dua pengiktirafan pada Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial dalam Ekonomi Membangun (SIAC) 2026.

Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam dalam kenyataan hari ini berkata ia termasuk Anugerah Platinum bagi kategori Outstanding SIA Innovation Award menerusi pembangunan Sistem Penilaian Impak Sosial Pantas (SiRA) dan Anugerah Emas bagi kategori Excellence in Social Impact Assessment Education Award (Public University) melalui Pusat Pengajian Persekitaran dan Kelestarian, Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG).

Beliau berkata pembangunan sistem SiRA mendapat sokongan pembiayaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Geran Penyelidikan Program Padanan Industri (IMaP).

“SiRA ialah inovasi digital berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang mengintegrasikan data sosioekonomi, alam sekitar dan infrastruktur bagi menyokong saringan awal risiko sosial serta kesesuaian tapak untuk cadangan pembangunan.

“SiRA membantu pemaju, perunding dan agensi mengenal pasti taburan risiko secara spatial, menentukan kawasan yang memerlukan perhatian serta menyokong proses perancangan pembangunan berdasarkan bukti,” katanya.

Fadzli berkata pembangunan inovasi itu mencerminkan keberkesanan kolaborasi antara universiti, agensi kerajaan dan sektor swasta dalam menterjemah hasil penyelidikan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada industri serta masyarakat.

Beliau berkata ia juga membuktikan komitmen UniSZA dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, khususnya bidang pembangunan lestari dan penilaian impak sosial di Malaysia.

“Pencapaian ini mampu menjadi pemangkin kepada UniSZA untuk terus memperluas jaringan kolaborasi strategik di peringkat nasional dan antarabangsa ke arah memperkasa penyelidikan berimpak tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan