PASARAN > BERITA

FBM KLCI NAIK 0.43 PERATUS DENGAN TUMPUAN SAHAM TENAGA, PERLADANGAN DAN KEWANGAN

19/04/2024 01:52 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Ketegangan yang memuncak di Timur Tengah terbukti mempengaruhi sentimen pasaran tempatan, mendorong pelabur beralih kepada sektor tenaga, kewangan dan perladangan yang turut memacu peningkatan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada tengah hari Jumaat.

Pada 12.30 tengah hari, FBM KLCI meningkat 6.66 mata atau 0.43 peratus kepada 1,551.42 daripada 1,544.76, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.54 mata pada 1,546.30.

Sentimen pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 955 berbanding 205 manakala 336 kaunter tidak berubah, 880 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 3.12 bilion unit bernilai RM1.80 bilion. 

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran memberi reaksi terhadap laporan berita ketegangan geopolitik Timur Tengah, yang akan meningkatkan risiko inflasi dan kenaikan harga komoditi.

"Harga komoditi seperti minyak sawit, minyak mentah dan logam akan meningkat manakala wang tunai serta komoditi kini dianggap sebagai selamat.

“Pelabur dijangka memperuntukkan dana kepada tenaga, perkhidmatan kewangan, dan perladangan dan pada masa sama melepaskan pegangan saham sektor lain. Sentimen pasaran bagaimanapun tidak seburuk di Eropah," katanya kepada Bernama.

Laporan terkini menyatakan Israel telah melancarkan serangan peluru berpandu terhadap Iran pada awal pagi ini.

Dalam pada itu, Press Metal mendahului saham wajaran tinggi dengan menokok 16 sen kepada RM5.44, MISC untung 24 sen kepada RM8.07, Maybank naik tiga sen kepada RM9.70 dan Sime Darby Plantations meraih lima sen kepada RM4.46.

Bagi saham aktif, masing-masing TWL, Ingenieur Gudang and Velesto tidak berubah pada tiga sen, 14 sen dan 27 sen manakala AwanBiru susut 12 sen kepada 20 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 14.73 mata kepada 11,602.24, Indeks FBM 70 merosot 175.61 mata kepada 16,009.05 tetapi Indeks FBMT 100 menokok 4.27 mata kepada 11,259.80. 

Indeks FBM Emas Shariah lemah 32.87 mata kepada 11,755.46 dan Indeks FBM ACE berkurangan 140.10 mata kepada 4,807.42. 

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 45.27 mata kepada 17,177.91, Indeks Tenaga naik 15.63 mata kepada 967.63 dan Indeks Perladangan meningkat 21.64 mata kepada 7,376.09.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian bagaimanapun susut 0.63 mata kepada 183.82.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan