PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA TERUSKAN LONJAKAN HARI KEEMPAT, DITUTUP LEPASI PARAS UTAMA 1,600

07/05/2024 09:09 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan aliran menaiknya untuk ditutup melepasi paras utama 1,600 hari ini, didorong oleh sentimen positif pelabur dan keyakinan berterusan terhadap kemungkinan penurunan kadar faedah global, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.52 peratus atau 8.29 mata kepada 1,605.68 berbanding 1,597.39 ketika ditutup pada Isnin, menandakan paras tertinggi untuk indeks utama sejak April 2022.

Indeks petunjuk pasaran itu, yang dibuka 3.46 mata lebih tinggi pada 1,600.85, bergerak antara 1,600.66 pada awal sesi dagangan dan mencecah 1,610.32 pada sesi tengah hari.

Pada keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 684 kepada 455, manakala 498 tidak berubah, 676 tidak diniagakan dan 14 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.42 bilion unit bernilai RM3.79 bilion berbanding 4.48 bilion unit bernilai RM3.12 bilion pada Isnin.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menyatakan bahawa FBM KLCI ditutup lebih tinggi untuk hari keempat berturut-turut, dengan pembelian secara menyeluruh.

“Kami mengekalkan pandangan optimistik terhadap pasaran saham tempatan, disokong oleh penilaian menarik dan pelaburan asing yang berterusan, walaupun kami mengakui potensi berlakunya aktiviti pengambilan untung.

"Kami percaya jika indeks petunjuk pasaran mampu kekal di atas paras 1,600 dalam tempoh yang panjang, ia berpotensi untuk meningkat lagi," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pengurus portfolio dan ketua penyelidikan serta penasihat harta UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar faedah pada 3.0 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Khamis ini.

"Memandangkan terdapat kebimbangan mengenai kelonggaran dasar monetari dan ringgit Malaysia terus mengukuh, kami meramalkan pertumbuhan berterusan dalam pelaburan asing dalam ekuiti Malaysia," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing naik satu sen kepada RM9.84 dan RM4.21, CIMB menambah enam sen kepada RM6.81, Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM12.48 dan IHH Healthcare turut menokok satu sen kepada RM6. 31.

Bagi saham aktif, Ingenieur turun 2.5 sen kepada 8.5 sen, Iconic Worldwide naik 1.5 sen kepada 13 sen, TWL tidak berubah pada 2.5 sen, Capital A naik enam sen kepada 90 sen, dan MYEG naik setengah sen kepada 92 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 64.20 mata kepada 12,098.47, Indeks FBMT 100 meningkat 58.87 mata kepada 11,715.85 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 72.96 mata kepada 12,302.88.

Indeks FBM 70 melonjak 78.17 mata kepada 16,913.82 tetapi Indeks FBM ACE susut 53.02 mata kepada 5,087.89.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 101.47 mata kepada 17,525.08, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.6 mata kepada 192.54, Indeks Perladangan meningkat 46.51 mata kepada 7,439.65, dan Indeks Tenaga meningkat 13.30 mata kepada 19.30.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkembang kepada 3.99 bilion unit bernilai RM3.41 bilion daripada 2.54 bilion unit bernilai RM2.63 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran susut kepada 796.35 juta unit bernilai RM117.88 juta berbanding 1.00 bilion unit bernilai RM164.47 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 627.42 juta saham bernilai RM263.14 juta berbanding 933.26 juta saham bernilai RM324.44 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 762.61 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.34 bilion), pembinaan (363.29 juta), teknologi (320.49 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (124.49 juta), hartanah (547.97 juta), perladangan (30.69 juta), REIT (26.53 juta), dana tertutup (68,000), tenaga (199.26 juta), penjagaan kesihatan (67.79 juta), telekomunikasi dan media (51.42 juta), pengangkutan dan logistik (41.26 juta), utiliti (109.95 juta), dan amanah perniagaan (1.38 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan