PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH, AKHIRI KENAIKAN DUA HARI BERTURUT-TURUT

08/05/2024 09:53 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri kenaikan dua hari berturut-turutnya dengan ditutup rendah pada Rabu, kata seorang peniaga.

Ketua Penyelidik komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata kelemahan niaga hadapan minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) pada waktu dagangan Asia dan unjuran Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menjejaskan harga MSM.

MPOA menganggarkan peningkatan keseluruhan 10 peratus dalam pengeluaran minyak sawit Malaysia pada April berbanding Mac, dengan Semenanjung Malaysia 10.78 peratus; Malaysia Timur 8.76 peratus; Sabah 7.70 peratus; dan Sarawak 11.25 peratus, manakala UOB Kay Hian menganggarkan peningkatan tujuh peratus hingga 11 peratus.

“Data itu menunjukkan sedikit pebezaan kerana pasaran, termasuk kami, menganggarkan pengeluaran meningkat kepada sekitar empat peratus hingga lima peratus sahaja,” katanya kepada Bernama.

Jumlah pengeluaran minyak sawit Malaysia sebenar dijadualkan dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia Jumaat ini.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM mengakhiri kenaikan sebelum ini berikutan pasaran melihat peningkatan yang sangat ketara  daripada jangkaan pengeluaran April Malaysia daripada data MPOA yang diterbitkan lewat semalam.

“MPOA menyumbang 40 peratus daripada 5.65 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit dengan keahlian terdiri daripada ladang-ladang besar,” katanya.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata harga MSM ditutup rendah hari Rabu berikutan pasaran bimbang terhadap peningkatan pengeluaran dalam beberapa minggu akan datang, yang sekali gus akan meningkatkan paras stok keseluruhan di negara ini.

Justeru, pihaknya mengesan paras sokongan pada RM3,800 satu tan dan paras rintangan pada RM3,950 satu tan.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mei 2024 susut RM3 kepada RM3,957 satu tan, Jun 2024 turun RM50 kepada RM3,894 satu tan dan Julai 2024 jatuh RM61 kepada RM3,869 satu tan.

Kontrak Ogos 2024 merosot RM66 kepada RM3,860 satu tan, September 2024 turun RM67 kepada RM3,858 satu tan, manakala Oktober 2024 susut RM64 kepada RM3,861 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 87,832 lot daripada 70,166 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka susut kepada 220,803 kontrak daripada 221,326 kontrak sebelum itu.

Haga MSM fizikal bagi Mei Selatan susut RM10 kepada RM3,970 satu tan.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan