PASARAN > BERITA

PRESTASI BURSA MALAYSIA BERCAMPUR-CAMPUR PADA TENGAH HARI

12/06/2024 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Saham-saham Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Rabu dengan bercampur-campur ketika pasaran menjadi berhati-hati, memaparkan prestasi pasaran serantau menjelang keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengenai kadar faedah pada lewat hari ini.

Bagaimanapun, bursa tempatan itu terus mendapat sokongan berterusan yang merentasi sektor dan didahului oleh kaunter teknologi, pembinaan serta hartanah.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.25 mata kepada 1,613.74 daripada 1,611.49 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 5.14 mata pada 1,616.63 dan bergerak dalam jajaran 1,613.09 hingga 1,618.99 sepanjang sesi awal.

Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 593 berbanding 578 manakala 468 kaunter tidak berubah, 762 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung dagangannya.

Seorang peniaga berkata pasaran serantau lebih berhati-hati ketika pelabur menunggu data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang dijadual pada lewat hari ini serta keputusan Fed mengenai kadar faedah yang dijangka tidak berubah.

Pasaran serantau menyaksikan Indeks Hang Seng susut 1.45 peratus kepada 17,913.10; Nikkei turun 0.60 peratus kepada 38,900.45 manakala Indeks Straits Times meningkat sederhana sebanyak 0.16 peratus kepada 3,314.44.

Bagi saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional naik 20 sen kepada RM14, TM menokok 15 sen kepada RM6.74, CIMB menambah empat sen kepada RM6.93 manakala HH, Public Bank and Axiata tidak berubah masing-masing pada RM6.25, RM4.08 serta RM2.80.

Saham aktif menyaksikan DNeX untung 2.5 sen kepada 50 sen, Harvest Miracle tidak berubah pada 10.5 sen, SNS Network meraih 14 sen kepada 89.5 sen manakala JCY menambah satu sen kepada 80.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 52.06 mata kepada 12,425.35, Indeks FBMT 100 naik 52.09 mata kepada 12,801.08 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 85.46 mata kepada 12,801.08.

Indeks FBM 70 melonjak 221.49 mata kepada 18,199.90 dan Indeks FBM ACE naik 33.79 mata pada 5,782.72.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 9.0 mata kepada 17,600.38, Indeks Perladangan meraih 4.76 mata kepada 7,055.52, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.28 mata kepada 199.46 manakala Indeks Tenaga pula susut 11.30 mata kepada 979.44.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan