PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA MENINGKAT PADA SESI AWAL, JEJAK PRESTASI WALL STREET

03/07/2024 10:13 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan Rabu dengan lebih positif, menjejaki prestasi peningkatan semalaman di Wall Street, kata penganalisis.

Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.63 mata kepada 1,601.59 daripada paras penutup 1,597.96 semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.64 mata kepada 1,599.60.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 297 berbanding 119 dengan 334 kaunter tidak berubah, 1,655 tidak diniagakan dan sembilan digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 291.86 juta unit bernilai RM166.90 juta.

Dalam pada itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kedua-dua S&P 500 dan Nasdaq mencecah satu lagi paras rekod walaupun Rizab Persekutuan AS (Fed) mengulangi masih belum bersedia mengurangkan kadar faedah utama sehingga inflasi kekal susut kepada dua peratus.

Selain itu, angka Purata Perindustrian Dow Jones naik 162 mata manakala Nasdaq melonjak 149 mata dengan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS susut sedikit kepada 4.436 peratus.

Di peringkat domestik, Thong berkata jumlah pembeli dan dagangan terus positif dan mencecah lima bilion saham.

“Pada hari ini misalnya, kami menjangkakan indeks itu berkemungkinan bergerak dalam julat antara 1,600 hingga 1,610 berikutan aktiviti memburu saham-saham berharga rendah yang dijangka berterusan," katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing tidak berubah pada RM9.99 dan RM14.0. Public Bank dan IHH Healthcare meraih satu sen masing-masing kepada RM4.05 dan RM6.31 manakala CIMB menokok tiga sen kepada RM6.91.

Bagi kaunter paling aktif, Go Hub naik 44.5 sen kepada 79.5 sen, WCT meraih tiga sen kepada 92 sen manakala Velesto dan Reservoir naik setengah sen masing-masing pada 28 sen dan 36 sen.

UUE Holdings pula susut setengah sen kepada 69 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 39.16 mata kepada 12,351.90, Indeks FBMT 100 menokok 37.71 mata kepada 11,922.03 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 42.95 mata kepada 12,692.12.

Indeks FBM 70 melonjak 96.70 mata kepada 18,171.43 dan Indeks FBM ACE naik 11.20 mata kepada 5,897.22.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 31.05 mata kepada 17,577.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.62 mata kepada 197.76, Indeks Tenaga menambah 4.72 mata kepada 984.85 manakala Indeks Perladangan meningkat 9.64 mata kepada 6,995.51.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan