PASARAN > BERITA

RINGGIT RENDAH BERBANDING DOLAR AS DALAM DAGANGAN AWAL BERIKUTAN AKTIVITI PENGAMBILAN UNTUNG

15/07/2024 09:50 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana.

Pada 8 pagi, ringgit merosot kepada 4.6725/6945 berbanding dolar AS daripada 4.6700/6730 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan berada dalam kedudukan terlebih beli berikutan peningkatan pada minggu lepas.

“Kedudukan terlebih beli untuk ringgit berbanding dolar AS dari segi teknikal boleh menyebabkan peniaga mengambil keuntungan mereka,” katanya kepada Bernama, sambil menambah trend yang menjadi kelaziman untuk ringgit yang kukuh masih kekal.

“Ringgit dijangka disokong dengan baik berikutan perbincangan mengenai pelonggaran dasar monetari AS yang semakin hangat sejak akhir-akhir ini.

“Ini sebahagian besarnya disebabkan data ekonomi yang lemah seperti indeks sentimen pengguna University of Michigan yang rendah apabila merosot kepada 66.0 mata pada Julai daripada 68.2 pada Jun,” katanya.

Beliau berkata kadar inflasi AS turut sederhana dan ini menunjukkan dasar monetari yang ketat telah menurunkan kadar inflasi.

Oleh itu, beliau menjangka ringgit akan kekal pada paras RM4.67 hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9528/9671 daripada 2.9338/9359 pada Jumaat lepas, merosot berbanding euro kepada 5.0865/1104 daripada 5.0838/0870 dan susut berbanding pound kepada 6.0588/0874 daripada 6.0481/0520 sebelum ini.

Ia diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4792/4961 daripada 3.4768/4793 pada Jumaat lepas, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 289.5/291.0 daripada 289.3/289.7 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9142/9826 daripada 12.9023/9160 sebelum ini.

Mata wang tempatan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.00/8.04 daripada 8.00/8.00.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan