PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA MENINGKAT PADA SESI AWAL SEIRING PRESTASI WALL STREET

17/07/2024 10:41 AM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan Rabu dengan lebih positif apabila meningkat semula dan menjejaki prestasi semalaman Wall Street, di tengah-tengah spekulasi pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) bakal mengakhiri kitaran dasar monetarinya yang ketat.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.67 mata kepada 1,631.63 daripada paras 1,625.96 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 4.02 mata kepada 1,629.98.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 252 berbanding 115 dengan 308 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,773 tidak diniagakan dan enam lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 177.49 juta unit bernilai RM79.09 juta.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pihaknya menjangkakan indeks utama bergerak dalam aliran julat 1,625 hingga 1,635 hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang kukuh serta kemungkinan penurunan kadar faedah pada September.

“Wall Street mengakhiri dagangan lebih tinggi, disokong oleh pembelian ketara yang mendorong indeks Purata Perindustrian Dow Jones ke paras tertinggi.

“Pada masa sama, peniaga masih berharap pihak Fed akan mengurangkan kadar faedah utama itu pada September ini, disokong oleh data jualan runcit Jun yang lebih baik daripada jangkaan awal yang menunjukkan penurunan sederhana ekonomi AS,” katanya.

Selain itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik empat sen kepada RM10.14, TNB meraih dua sen kepada RM14.48 manakala Public Bank, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing naik tiga sen kepada RM4.16, RM7.18 dan RM6.38.

Press Metal dan Hong Leong Bank sebaliknya kekal tidak berubah pada RM5.98 dan RM19.10.

Bagi kaunter paling aktif, Censof naik dua sen kepada 40.5 sen manakala Malayan United menokok separuh sen kepada sembilan sen, Nova MSC dan Computer Forms naik setengah sen kepada 19.5 sen dan 17.5 sen, Aimflex kekal pada 20 sen dan Kanger International turun setengah sen kepada 5.5 sen.

Prestasi indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 40.14 mata kepada 12,640.87, Indeks FBMT 100 menokok 38.62 mata kepada 12,211.75, Indeks FBM Emas Shariah meraih 42.35 mata kepada 13,014.94, Indeks FBM 70 meningkat 45.70 mata kepada 18,854.92 manakala Indeks FBM ACE menambah 5.46 mata kepada 5,968.54.

Bagi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 53.78 mata kepada 17,954.84, Indeks Perladangan naik 1.26 mata kepada 6,983.56, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.42 mata kepada 200.54 namun Indeks Tenaga turun 0.86 mata kepada 975.34.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan