PASARAN > BERITA

PROMOSI PRODUK PASARAN MODAL DI MEDIA SOSIAL MUNGKIN PERLU LESEN DARIPADA SC

18/07/2024 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Aktiviti mempromosi produk pasaran modal di platform media sosial mungkin memerlukan lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam keadaan tertentu, menurut Nota Panduan Penyediaan Nasihat Pelaburan (Nota Panduan) SC yang dikemaskini.

"Contohnya, perkongsian cerapan kewangan atau pengesyoran dalam mempromosikan produk pasaran modal tertentu kepada pengikut (followers) dengan jangkaan komisen atau ganjaran lain akan memerlukan lesen," kata SC dalam satu kenyataan hari ini.

Pengawal selia itu mengemas kini nota panduan di https://www.sc.com.my/regulation/guidance-notes-and-guiding-principles, dengan maklumat grafik boleh didapati di https://www.sc.com.my/investor-empowerment/info-on-finfluencer.

Ia berkata langkah itu bertujuan menangani peningkatan populariti pempengaruh kewangan (finfluencer) yang mempromosikan produk dan perkhidmatan pasaran modal di media sosial, serta mewujudkan kesedaran awam yang lebih besar.

"Pempengaruh kewangan harus mengambil perhatian bahawa penglibatan diri dalam aktiviti terkawal tanpa lesen merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

"Mana-mana individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pengawal selia itu berkata pempengaruh kewangan harus mengesahkan bahawa syarikat yang mereka promosi adalah dilesenkan atau diluluskan oleh SC dengan menggunakan portal Semak Sebelum Labur SC.

"SC, dalam melaksanakan fungsi kawal selianya, memantau pasaran modal secara aktif dan akan terus menangani sebarang perkembangan dan trend dengan, antara lain, mengeluarkan panduan kepada orang ramai.

"Tindakan akan diambil, jika perlu, ke arah memastikan pasaran yang adil dan teratur," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan