PASARAN > BERITA

Kurang Pemangkin, Bursa Malaysia Ditutup Rendah Menjelang Ucapan Pengerusi FED

23/08/2024 07:08 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu dengan lebih rendah pada Jumaat berikutan kekurangan pemangkin di tengah-tengah tumpuan terhadap ucapan penting Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), Jerome Powell malam ini, kata penganalisis.

Pada penutup, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.92 mata atau 0.36 peratus kepada 1,635.74 daripada 1,641.66 di akhir dagangan semalam. 

Indeks petunjuk utama itu dibuka naik 1.67 mata kepada 1,643.33 dan bergerak dalam julat 1,633.31 hingga 1,644.44 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 888 berbanding 255 dengan 427 kaunter tidak berubah, 938 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan susut kepada 3.53 bilion unit bernilai RM2.80 bilion daripada 3.72 bilion unit bernilai RM3.08 bilion, semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup lebih rendah hari ini, dipengaruhi terutamanya oleh jangkaan pelabur terhadap ucapan Powell di acara Simposium Ekonomi Jackson Hole pada 10 malam ini (waktu Malaysia).

"Acara tahunan itu adalah platform penting bagi bank pusat itu bagi menggariskan prospek ekonomi dan tujuan dasarnya.

“Walaupun tiada perubahan dasar yang ketara dijangkakan selepas ucapan itu, pasaran tetap memberi tumpuan terhadap pendirian Fed susulan petunjuk CME FedWatch mengenai kebarangkalian 75.5 peratus untuk penurunan 25 mata asas kadar faedah itu pada September," katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Mohd Sedek berkata prestasi FBM KLCI dipacu oleh kaunter perladangan dengan Indeks Perladangan yang mencatat keuntungan.

Menurutnya, ini didorong oleh pelaporan pendapatan suku kedua 2024 yang kukuh selain kesediaan pengeluar Malaysia mematuhi Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah berbanding negara lain.

Naib Presiden Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup rendah sedikit berikutan kekurangan pemangkin belian.

“Indeks utama serantau mencatat aliran meningkat sedikit ketika dolar Amerika Syarikat terus lemah, didorong olej spekulasi mengenai jangkaan pengurangan kadar faedah pada bulan depan.

“Di peringkat domestik, indeks penanda aras itu kekal dalam mod konsolidasi ketika sentimen berhati-hati global mendorong pelabur untuk lebih bertahan daripada membuat sebarang langkah yang signifikan,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan IHH Healthcare naik 1.0 sen kepada RM6.33; Tenaga Nasional susut 14.0 sen kepada RM13.72; Public Bank rugi 6.0 sen kepada RM4.53 manakala Maybank dan CIMB Group tidak berubah masing-masing pada RM10.44 dan RM7.89.

Bagi saham aktif, EPB yang baru disenaraikan di Pasaran ACE naik 6.0 sen kepada 62 sen, Elridge Energy menambah setengah sen kepada 40.5 sen, Cape EMS turun 2.0 sen kepada 38 sen manakala MY E.G. Services susut 5.0 sen kepada 89 sen.

Dalam pada itu, Bursa Malaysia menggantung jualan singkat harian bagi Genetec Technology dan Notion VTEC bagi tempoh berbaki hari ini berikutan pelanggaran had harga.

Sewaktu ditutup, harga saham Genetec merosot 16.19 peratus kepada RM1.19 manakala Notion VTEC turun 16.78 peratus kepada RM1.14.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas kehilangan 92.43 mata kepada 12,333.81; Indeks FBMT 100 turun 78.87 mata kepada 12,013.44; Indeks FBM Emas Shariah susut 113.38 mata kepada 12,262.05, Indeks FBM 70 merosot 247.68 mata kepada 17,714.43 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 58.45 mata kepada 5,215.69.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 0.88 mata kepada 921.53; Indeks Perladangan naik 0.92 mata kepada 7,200.17 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 86.67 mata kepada 19,020.65 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.78 mata kepada 181.60.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menokok kepada 1.93 bilion unit bernilai RM2.46 bilion daripada 1.85 bilion unit bernilai RM2.69 bilion, semalam.

Selain itu, jumlah waran berkurangan kepada 938.77 juta unit bernilai RM99.32 juta daripada 1.10 bilion unit bernilai RM129.70 juta, sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan turun kepada 660.10 juta saham bernilai RM238.33 juta daripada 768.36 juta saham bernilai RM260.94 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 257.99 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (354.68 juta), pembinaan (148.94 juta), teknologi (440.28 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (93.35 juta), hartanah (240.88 juta), perladangan (19.52 juta), REIT (10.06 juta), dana tertutup (54,000), tenaga (172.06 juta), penjagaan kesihatan (75.78 juta), telekomunikasi dan media (23.59 juta),  pengangkutan dan logistik (44.00 juta), utiliti (54.06 juta) serta amanah perniagaan (217,600).

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan