PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Cenderung Didagangkan Dalam Aliran Menurun Minggu Depan

24/08/2024 10:10 AM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun minggu depan berikutan persekitaran luaran yang mencabar, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata prospek lemah itu disebabkan ketidaktentuan ekonomi global dan kelemahan berterusan harga minyak kacang soya.

“Kami menjangkakan harga akan diniagakan antara RM3,700 dan RM3,880 satu tan metrik minggu depan,” kata Ng kepada Bernama.

Dalam pada itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh menjangkakan niaga hadapan MSM akan didagangkan antara RM3,700 dan RM3,850 setan metrik.

“Pengeluaran dijangka kukuh pada Ogos berikutan keadaan cuaca yang baik. Ramai penganalisis menjangkakan paras stok akan meningkat,” katanya.

Pada asas mingguan, kontrak September 2024 meningkat RM104 to RM3,976 satu tan metrik, Oktober 2024 menokok RM164 kepada RM3,916 setan metrik, November 2024 naik RM186 kepada RM3,867 setan metrik dan Disember 2024 menambah RM192 kepada RM3,851 satu tan metrik.

Kontrak Januari 2025 menokok RM194 kepada RM3,847 setan metrik manakala Februari 2025 menambah RM183 kepada RM3,838 satu tan metrik.

Jumlah dagangan mingguan meningkat 361,091 lot daripada 312,466 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 223,891 kontrak daripada 218,561 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan melonjak RM80 kepada RM4,000 satu tan metrik daripada RM3,290 setan metrik pada minggu sebelumnya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan