PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Ketegangan Di Timur Tengah

02/10/2024 06:48 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini susut daripada kenaikan semalam sejajar dengan prestasi bursa serantau lain apabila kebimbangan terhadap ketegangan di Timur Tengah telah mencetuskan aktiviti jualan, kata seorang penganalisis. 

Public Bank dan CIMB Group menerajui penurunan, turun 8.0 sen dan 11 sen setiap satu masing-masing kepada RM4.53 dan RM7.95, menyusut 4.62 mata daripada indeks petunjuk pasaran tempatan.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 17.08 mata atau 1.03 peratus untuk ditutup kepada 1,639.31, turun daripada paras penutup 1,656.39 pada Selasa.

Petunjuk pasaran itu dibuka rendah susut 13.61 mata kepada 1,642.78 -- paras tertingginya hari ini - sebelum turun serendah 1,633.08 semasa sesi dagangan selepas tengah hari. 

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 874 berbanding 270, dengan 467 kaunter tidak berubah, 799 tidak diniagakan dan lapan digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.86 bilion unit bernilai RM2.73 bilion daripada 2.55 bilion unit bernilai RM2.41 bilion pada Selasa.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah telah menjejaskan kerancakan pasaran selepas mencatatkan prestasi kukuh sebelumnya.

“Selain isu kemanusiaan, pelabur juga bimbang kemungkinan konflik yang lebih mendalam antara kuasa besar serantau (Iran dan Israel) yang boleh memberi kesan lebih meluas terhadap ekonomi global.

“Pasaran dijangka terus kekal bertahan sehingga terdapat perkembangan yang ketara," katanya kepada Bernama hari ini.

Innes berkata trend biasa mencari aset lebih selamat sewaktu krisis mula berlaku apabila para pelabur menghindari saham Asia yang lebih berisiko dan sebaliknya memilih Perbendaharaan Amerika Syarikat. 

“Ia tindakan yang biasa diambil semasa pergolakan global, dan sekarang ini itulah apa yang berlaku dalam pasaran. Pelabur tidak akan memasuki pasaran sehingga keadaan mereda,” katanya. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, Maybank dan Hong Leong Bank susut 8.0 sen setiap satu masing-masing kepada RM10.46 dan RM21.30, Tenaga Nasional dan Petronas Chemicals  turun 10 sen masing-masing kepada RM14.30 dan RM5.70, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.24.

Dalam kalangan kaunter cergas, Talam Transform dan P.A.Resources naik setengah sen setiap satu masing-masing kepada 2.5 sen dan 33 sen, manakala Capital A berkurangan 4.5 sen kepada 93.5 sen dan Leong Hup susut setengah sen kepada 74 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 128.81 mata kepada 12,266.15, Indeks FBM Emas Shariah turun 113.91 mata kepada 12,204.13, Indeks FBMT 100 jatuh 125.94 mata kepada 11,9610.082, Indeks FBM 70 merosot 11,9610.082 manakala Indeks FBM  ACE berkurangan 87.48 mata kepada 5,125.82.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 17.24 mata kepada 7,172.05, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.91 mata kepada 176.18 manakala Indeks Tenaga meningkat 8.48 mata kepada 851.10.

Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 231.18 mata kepada 19,164.84.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.68 bilion unit bernilai RM2.34 bilion daripada 1.73 bilion unit bernilai RM2.26 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.76 bilion unit bernilai RM280.83 juta daripada 416.52 juta unit bernilai RM41.20 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 413.31 juta unit bernilai RM102.63 juta daripada 401.11 juta unit bernilai RM102.3 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 341.86 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (303.34 juta), pembinaan (151.12 juta), teknologi (155.05 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (97.92 juta), hartanah (361.53 juta), perladangan (26.48 juta), REIT (16.51 juta), dana tertutup (21,400), tenaga (89.55 juta), penjagaan kesihatan (48.96 juta), telekomunikasi dan media (32.28 juta), pengangkutan dan logistik (25.15 juta), utiliti (32.65 juta), dan amanah perniagaan (15,500 juta).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan