PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

04/10/2024 01:49 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi ini, mencerminkan prestasi pasaran serantau yang lemah berikutan sentimen terus berhati-hati disebabkan ketegangan di Timur Tengah, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 9.23 mata atau 0.56 peratus kepada 1,632.32 daripada 1,641.55 pada Khamis. 

Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka rendah 3.06 mata kepada 1,638.49, bergerak antara 1,629.94 dan 1,639.29 sepanjang sesi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 582 berbanding 302, dengan 459 kaunter tidak berubah, 1,065 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung. 

Jumlah dagangan sebanyak 1.82 bilion unit bernilai RM1.12 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street semalaman ditutup rendah berikutan kebimbangan mengenai ketegangan di Timur Tengah yang meningkat dan laporan senarai gaji bagi September malam ini.

“Dow Jones Industrial Average (DJIA) merosot 185 mata manakala Nasdaq susut 7.0 mata berikutan hasil 10 tahun Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) naik kepada 3.84 peratus. 

“Bagaimanapun, kami percaya indeks masih berada dalam fasa konsolidasi, justeru kami menjangka ia akan berada dalam julat 1,640-1,650 hari ini.

“Sementara itu, minyak sawit mentah diniagakan tinggi pada sekitar RM4,200 satu tan berikutan harga minyak mentah yang tinggi dan ringgit yang rendah, pada masa ini sebanyak RM4.23 berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing merosot 4.0 sen kepada RM10.50 dan 14.24, Public Bank susut 2.0 sen kepada RM4.55, CIMB Group berkurangan 5.0 sen kepada RM7.94 dan IHH Healthcare turun 7.0 sen kepada RM7.17.

Daripada kaunter aktif, OCR Group susut 1.0 sen kepada 3.5 sen dan Capital A berkurangan 5.0 sen kepada 86 sen manakala Bumi Armada naik 1.5 sen kepada 49.5 sen dan Alam Maritim meningkat 1.0 sen kepada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 52.61 mata kepada 12,217.16, Indeks FBMT 100 berkurangan 52.16 mata kepada 11,911.13 dan Indeks FBM 70 susut 19.14 mata kepada 17,277.09.  

Indeks FBM ACE merosot 19.45 mata kepada 5,106.30 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 67.43 mata kepada 12,113.97.  

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 21.88 mata kepada 7,159.69, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 63.36 mata kepada 19,197.69 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.0 mata kepada 175.82 manakala Indeks Tenaga naik 28.20 mata kepada 886.01.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan