PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Susulan Ringgit Lemah, Gangguan Bekalan

07/10/2024 07:24 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Isnin disokong oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selain berlaku gangguan bekalan akibat cuaca buruk di Thailand, kata seorang peniaga. 

Beliau berkata agensi meteorologi terkemuka Thailand turut memberi amaran mengenai hujan lebat di kawasan terpencil dan lebih rendah yang mungkin berlaku di kawasan tengah serta selatan negara itu dari 6 hingga 12 Okt, 2024.

"Aliran meningkat (pasaran getah hari ini) juga didorong oleh data ekonomi yang menggalakkan daripada AS dan China," katanya kepada Bernama.

Peniaga itu menekankan ekonomi AS telah menambah 254,000 pekerjaan bulan lepas, meningkat daripada 159,000 yang disemak naik pada Ogos, memandangkan pertumbuhan pekerjaan melebihi jangkaan manakala kadar pengangguran berkurangan daripada paras bulan sebelumnya.

“Rizab pertukaran asing China meningkat lebih daripada jangkaan pada September, melonjak sebanyak US$28.2 bilion kepada US$3.32 trilion.

“Dalam pada itu, jualan hartanah di China berkembang semasa cuti Hari Kebangsaan selepas pelbagai langkah rangsangan hartanah dilaksanakan bagi merangsang pasaran hartanah negara yang tertekan,” katanya.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (GMM20) dan lateks pukal meningkat sebanyak 3.5 sen masing-masing kepada 874.5 sen sekilogram dan 743 sekilogram. 

Pada 5 petang, GMM20 berada pada 899.5 sen sekilogram manakala lateks pukal mencapai 747 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan