PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tidak Berubah

08/10/2024 07:41 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tidak berubah pada Selasa dalam persekitaran prestasi serantau bercampur-campur, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kekal tinggi disebabkan pembelian lewat dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Pada 5 petang, FBM KLCI naik 0.33 mata atau 0.02 peratus kepada 1,635.62.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 3.36 mata pada 1,631.63 dan bergerak antara paras  1,629.22 dan 1,638.87 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 567 berbanding 486 manakala 508 kaunter tidak berubah, 862 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.25 bilion unit bernilai RM2.67 bilion daripada 2.76 bilion unit bernilai RM2.74 bilion pada Isnin.  

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata FBM KLCI mengurangkan keuntungan tetapi berjaya mencatatkan prestasi baik.

"Sentimen pelabur di peringkat tempatan kekal bercampur-campur dengan volum dagangan rendah mengekalkan indeks penanda aras dalam mod penyatuan. Kami sedang melakukan pemantauan mengenainya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata melepasi tahap rintangan 1,650 boleh mencetuskan momentum menaik yang lebih kukuh. "Oleh itu, kami mengekalkan julat sasaran mingguan kami pada 1,630-1,650, mewakili paras sokongan dan rintangan," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan di UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran disokong oleh keyakinan berterusan mengenai prospek ekonomi Asia.

"Bagaimanapun, keyakinan ini kelihatan tidak menentu dengan pelabur kekal berhati-hati dalam persekitaran ketidaktentuan yang menyelubungi pakej rangsangan China dan risiko geopolitik yang berpanjangan," katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank jatuh dua sen kepada RM10.48, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.57 dan Tenaga Nasional meningkat 20 sen kepada RM14.18, IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM7.25 mankala CIMB tidak berubah pada RM7.96.

Bagi kaunter cergas, Velocity Capital turun satu sen kepada enam sen, KHPT menokok 1.5 sen kepada 21.5 sen, Bina Puri tidak berubah pada 36 sen, 99 Speedmart naik 13 sen kepada RM2.46 manakala Ekovest meningkat 0.5 sen kepada37 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 12.09 mata kepada 12,268.87, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 8.23 mata kepada 12,181.92, Indeks FBMT 100 menokok 13.31 mata kepada 11,962.77, Indeks FBM 70 menambah 59.87 mata kepada 17,454.89 dan Indeks FBM ACE melonjak 22.83 mata kepada 5.152.66. 

Mengikut sektor, Indeks Perladangan mengukuh kepada 1.40 mata kepada 7,213.62, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 11.55 mata kepada 19,202.33, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.07 mata kepada 177.62. Indeks Tenaga susut 3.27 mata kepada 895.78.

Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 1.60 bilion unit bernilai RM2.33 bilion daripada 1.67 bilion unit bernilai RM2.52 bilion pada Isnin.  

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.06 bilion unit bernilai RM153.68 juta daripada 617.25 juta unit bernilai RM100.88 juta.  

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 583.74 juta saham bernilai RM178.93 juta daripada 467.19 juta saham bernilai RM113.88 juta sebelumnya. 

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 219.01 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (428.16 juta); pembinaan (167.30 juta); teknologi (179.36 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (86.50 juta); hartanah (156.70 juta); perladangan (38.19 juta); REITs (10.15 juta), dana tertutup (16,000); tenaga (120.75 juta); penjagaan kesihatan (62.20 juta); telekomunikasi dan media (44.94 juta); pengangkutan dan logistik (37.09 juta) dan amanah perniagaan (231,300 juta).

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan