PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Tinggi, Disokong Sentimen Positif Menjelang Belanjawan

16/10/2024 08:00 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS dan mata wang utama yang lain hari ini, dipacu oleh sentimen positif menjelang pembentangan belanjawan Jumaat ini, kata Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu naik kepada 4.2945/2995 berbanding dolar AS 4.3080/3120 ketika ditutup semalam.

Innes berkata sentimen pasaran cenderung ke aras positif pada sesi dagangan pertengahan minggu, dengan pengumuman belanjawan Jumaat ini, yang bertanggungjawab secara fiskal, dijangkakan menyumbang kepada pemulihan ringgit.

“Ringgit menunjukkan kekuatan yang ketara hari ini, mencerminkan sensitivitinya terhadap hasil Perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS) yang menyusut kepada sekitar 4.02 peratus selepas memuncak pada 4.10 peratus sebelum ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata disebabkan data ekonomi AS yang kukuh, peserta pasaran juga nampaknya percaya bahawa pendirian Rizab Persekutuan yang cenderung menaikkan kadar faedah mungkin telah memuncak, menandakan prospek kenaikan bagi ringgit.

Selain itu, perbezaan yang semakin mengecil antara kadar faedah Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Perbendaharaan AS juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan ringgit. 

Pada penutup dagangan, ringgit tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Ia naik berbanding euro kepada 4.6780/6834 daripada 4.7013/7057 ketika ditutup pada Selasa, melonjak berbanding pound Britain kepada 5.5889/5954 daripada 5.6357/6410 dan menokok berbanding yen Jepun kepada  2.8772/8807 daripada 2.8928/8957 sebelum itu.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2800/2841 daripada 3.2928/2961 semalam dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.43/7.45 daripada 7.44/7.46 sebelum itu.

Sementara itu, ia menyusut berbanding baht Thai kepada 12.9329/9546 daripada 12.9121/9303 pada Selasa dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 276.8/277.3 daripada 276.3/276.7 sebelum itu.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan