PASARAN > BERITA

Pelan China, Sentimen Pasaran Terhadap Trump Pengaruh Ringgit Ditutup Rendah

17/10/2024 07:45 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Khamis dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika sentimen ‘Trump trade’ memacu pengukuhan mata wang negara maju itu manakala rancangan rangsangan China gagal memberi impak setakat ini.

Walaupun tiada sebarang takrifan tepat mengenai Trump trade,’ namun ia lebih memaparkan sentimen umum dalam kalangan pelabur bahawa kehadiran semula Donald Trump sebagai presiden, dapat memberi impak positif kepada pasaran.

Pada 6 petang ini, ringgit susut ke paras 4.3075/3105 berbanding dolar AS daripada paras 4.2945/2995 pada akhir urus niaga semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ‘Trump trade’ yang dicetuskan oleh unjuran pasaran menunjukkan Trump yang mewakili Parti Republikan, mendahului persaingan pemilihan presiden AS setakat ini dan menyebabkan mata wang negara-negara Asia, termasuk ringgit susut nilai dalam tempoh 24 jam lepas.

“Dalam persekitaran kempen presiden AS yang terus mendapat momentum, kalangan peniaga pula memanfaatkan pendirian keras Trump berkaitan tarif. Mereka percaya kemenangan Trump akan memberi cabaran kepada ekonomi asing, namun pada masa sama menjadikan dolar AS lebih menarik.

“Trump juga telah berjanji di bawah kepimpinannya, status dolar AS akan menyaksikan paras paling kukuh dan pasaran kelihatan memberi reaksi terhadap sentimen itu,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Innes berkata penggubal dasar China pula gagal menyuntik rasa yakin pada sesi taklimat mereka pagi ini dan menyebabkan rancangan menangani penyusutan pasaran hartanah tidak menepati jangkaan.

“Ini mencetuskan sentimen negatif di serata pasaran Asia, menyebabkan sebahagian besar mata wang susut, termasuk ringgit selain melemahkan yuan,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit juga susut berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit bagaimanapun naik berbanding euro kepada 4.6771/6803 daripada 4.6780/6834semalam, rendah berbanding pound Britain kepada 5.5967/6006 daripada 5.5889/5954, susut berbanding yen Jepun pada 2.8790/8812 daripada 2.8772/8807.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit juga rendah kecuali dolar Singapura pada 3.2782/2807 daaripada 3.2800/2841.

Ringgit susut berbanding peso Filipina pada 7.44/7.46 daripada 7.43/7.45, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9619/9776 daripada 12.9329/9546 dan turun berbanding rupiah Indonesia pada 277.7/278.1 daripada 276.8/277.3.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan